Kebanyakan pasukan menarik nafas lega dengan hasrat Liga Bila Sepak Malaysia (MFL) yang sudah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar hanya pegawai dan pemain positif COVID-19 sahaja yang dikuarantin.
Langkah itu bertepatan dengan apa dilakukan oleh beberapa liga negara luar sekali gus memastikan perlawanan dapat berlangsung seperti dirancang serta tidak menjejaskan perancangan pasukan.
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui mereka sangat terkesan dengan situasi sekarang apabila tidak dapat turun beraksi memandangkan penyertaan Piala AFC mereka telah dibatalkan.
“Saya rasa itulah solusi yang terbaik yang perlu ada pada ketika ini, kalau tidak berapa banyak perlawanan yang perlu ditangguh lagi dan akan memakan masa lama.
“Pasukan saya, satu hari sahaja lagi nak beraksi, terpaksa terima berita penangguhan ini pada saat kami semua sudah bersedia dan perancangan semua sedikit terjejas.
“Jadi, saya rasa pertimbangan dapat diberi kepada mereka yang negatif untuk meneruskan tugas, ambillah contoh liga-liga di luar negara, Eropah, dan Euro 2020 sekalipun yang mana pemain positif sahaja perlu dikuarantin.
“Jujur saya cakap, kami semua memang sangat sedih dan kecewa, kerana selepas Piala AFC yang patut kita lupakan, sekarang, kena berdepan perkara ini pula”, katanya.
MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan, semalam telah membuat permohonan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Liga Malaysia (Liga M) sudah dihantar melalui KBS untuk pertimbangan KKM dan MKN.
Katanya, MFL mengusulkan supaya hanya pegawai dan pemain yang positif COVID-19 dikuarantin manakala mereka disahkan negatif dibenarkan berlatih dan dalam masa sama meneruskan perlawanan liga seperti dijadualkan.
Dua perlawanan Liga Super iaitu antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC serta PJ City FC dan Kedah telah ditunda ekoran terdapat dua pemain Kedah diiuji positif.
Sementara bagi Liga Premier, tiga perlawanan ditunda iaitu membabitkan Sarawak United FC-Perak FC II, Kuching City FC-Terengganu FC II dan Kuching City FC-Johor Darul Ta’zim (JDT) II.
Hasrat itu turut disokong ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim, yang menjelaskan pihaknya telah sedaya upaya mengikut segala arahan ditetapkan dan melihat cadangan itu adil kepada semua pasukan.
“Saya rasa itu langkah yang baik untuk kita memohon pertimbangan MKN kerana pasukan kami setiap kali perlawanan, memang akan sentiasa buat ujian RTK.
“Jadi saya rasa seeloknya yang mana negatif, dapat dibenarkan untuk terus berlatih dan beraksi dalam perlawanan, dan yang mana positif teruskan kuarantin seperti yang ditetapkan.
“Kami di Kuching City FC sentiasa ambil berat mengenai perkara ini dan sebab itu kami tidak pernah ketinggalan untuk sentiasa melakukan ujian, jadi sekiranya yang mana ada ini hasil ujian adalah negatif, saya harap kami dapat diberi kelonggaran untuk sambung beraksi,” jelasnya. – MFL