Aksi mendebarkan dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan harapan Leicester City untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim hadapan dimusnahkan oleh dua gol lewat Gareth Bale.
Skuad kendalian Brendan Rogers itu tewas 4-2 kepada Tottenham Hotspur untuk meletakkan pasukan tersebut di tangga kelima dan sekaligus terlepas peluang mengakhiri saingan di kedudukan empat terbaik.
Chelsea ternyata cukup bernasib baik, walaupun tewas 2-1 kepada Aston Villa, tetapi keputusan perlawanan di Stadium King Power sudah cukup untuk memberi kegembiraan kepada penyokong The Blues yang meraikan kejayaan ke UCL.
Satu lagi tiket ke kejohanan elit Eropah tersebut menjadi milik Liverpool yang mengesahkan kedudukan di tangga ketiga selepas berjaya menewaskan Crystal Palace 2-0.
Leicester terpaksa berpuas hati dengan tiket ke Liga Europa (UEL) yang turut dimiliki oleh West Ham United yang cemerlang menewaskan Southampton 3-0 di Stadium London.
Turut lega mengesahkan slot ke kelayakan UEL adalah Spurs setelah mengakhiri musim ini di tangga ketujuh dan sekaligus mengecewakan musuh tradisinya Arsenal yang ketinggalan satu anak tangga di belakang walaupn menang 2-0 ke atas Brighton & Hove Albion.
Juara EPL Manchester City menutup musim cemerlangnya dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Everton. Pasukan jiran setempat Manchester United turut menang selepas menundukkan Wolverhampton Wanderers 2-1.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:
Gol Ke-41 Pada Minit Akhir Perlawanan Terakhir, Lewandowski Padam Rekod 49 Tahun Gerd Muller
5 Fakta Menarik Perhatian Kejayaan Atletico Madrid Juarai La Liga
Meski Cintanya Pada United, Rashford Tak Tolak Perpindahan Ke Real Madrid Atau Barcelona