Premier League kini sudah berada di pengujung musim, tetapi anehnya musim ini kerancakkannya semakin suram. Manchester City terlalu gagah buat pasukan-pasukan lain dengan pendahuluan 10 mata di kedudukan teratas, tatkala beberapa pasukan lain masih bergelut untuk mengelakkan dari tersingkir ke liga bawahan.
Namun ini tidak bererti tiada perkara yang membanggakan mengenai prestasi pasukan-pasukan bertanding dengan penilaian harus dilakukan untuk sepanjang musim.
Tidak dinafikan musim ini adalah antara musim yang sukar untuk diharungi dengan jadual perlawanan yang padat akibat musim baharu yang hanya bermula pada September berbanding Ogos seperti kebiasaan. Di sebalik kesukaran ini, Premier League masih dianggap sebagai saingan bola sepak terbaik dunia.
Berikut pula adalah calon Pengurus Terbaik Premier League bagi musim 2020/21.
Brendan Rodgers (Leicester City)
Kejuaraan liga Leicester City pada 2016 mungkin tidak akan berulang dalam masa terdekat, namun pendekatan yang digunakan oleh Brendan Rodgers di pasaran pemain berjaya melonjakkan mereka dalam saingan pada musim ini.
Leicester City kini menduduki tangga ketiga Premier League dengan kelebihan emat mata mengatasi Chelsea kendalian Thomas Tuchel. Musim lalu, The Foxes melalui kemerosotan prestasi di babak akhir musim selepas berada di kedudukan sama, dan perkara sama pasti mahu dipastikan tidak berulang. Musim ini mereka juga mara ke perlawanan akhir Piala FA berhadapan Chelsea.
Semua kejayaan pada musim ini adalah kerana Brendan Rodgers berjaya mengorek potensi sebenar pemain-pemain kendaliannya. Pemain-pemain seperti Youri Tielemans, Wilfred Ndidi, Kelechi Iheanacho dan Wesley Fofana semuanya menyerlah pada musim ini dan sudah tentu ia akan menarik perhatian kelab-kelab besar eropah yang lain. Malah Rodgers sendiri turut dikaitkan sebagai pengganti Jose Mourinho di Tottenham Hotspur.
Ole Gunnar Solksjaer (Manchester United)
Ole Gunnar Solksjaer sentiasa mendapat persepsi skeptikal sejak bergelar pengurus tetap Manchester United, namun pengendali dari Norway ini telah melalui setiap cabaran dengan tenang dan baik sekali setakat ini.
Permulaan yang buruk pada awal musim membuatkan kritikan dilemparkan kepada Solksjaer. Tetapi Manchester United berjaya bangkit selepas itu dan kini berada di kedudukan kedua Premier League. Walaupun skuad kendalian Solksjaer sepatutnya lebih baik dan menyerlah untuk perebutan trofi domestik, secara keseluruhan peningkatan prestasi itu masih jelas pada musim ini.
Manchester United adalah pasukan yang amat bahaya ketika melakukan serangan balas, dan pemain-pemain seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Luke Shaw adalah pemain utama mereka pada musim ini.
Solksjaer sebenarnya masih dalam proses pembinaan pasukan. Masih ada banyak kerja perlu dilakukan baik di pasaran pemain mahu pun di padang latihan. Buat masa ini Solksjaer membuktikan dirinya sebagai pengurus terbaik Manchester United sejak persaraan Sir Alex Ferguson. Trofi hanya akan menambahkan keyakinan dan mendiamkan pengkritik selepas ini.
Marcelo Bielsa (Leeds United)
Penampilan Marcelo Bielsa bersama Leeds United di awal musim sudah cukup membuatkan peminat Premier League di seluruh dunia teruja.
Pengurus bersifat enigmatic ini sentiasa menarik perhatian ramai kerana obsesi beliau kepada taktikal dan corak permainan bola sepak cantik. Musim ini beliau menampilkan falsafah bola sepak beliau melalui Leeds United. Mereka bermain dengan corak menyerang dan melakukan pressing/tekanan berintensiti tinggi.
Setakat ini Leeds United menduduki kedudukan kesembilan Premier League. Kedudukan tersebut sendiri sudah merupakan satu pencapaian buat Bielsa yang menggunakan skuad hampir sama yang menjuarai Champioship pada musim lalu.
David Moyes (West Ham)
Suatu ketika dahulu karier David Moyes hampir musnah selepas dipecat oleh Manchester United. Kini ukiran senyuman kembali ke wajah pengurus berbangsa Scotland ini, selepas beliau melalui musim menakjubkan bersama West Ham.
West Ham kini berada di kedudukan kelima Premier League, dan ketinggalan hanya tiga mata berbanding Chelsea di kedudukan keempat dan slot terakhir ke UEFA Champions League pada musim hadapan.
Di bawah kendalian Moyes, pemain-pemain seperti Jesse Lingard, Tomas Soucek dan Declan Rice juga menyerlah dan kredit diberikan kepada bekas pengendali Everton itu.
Tempoh beliau bersama Manchester United mungkin tidak menjadi, tetapi tiada siapa boleh menafikan beliau adalah seorang jurulatih yang bijak dan berpengalaman, dan West Ham kini sedang menikmati tempoh terbaik mereka di Premier League sejak musim 1998/99.
Pep Guardiola (Manchester City)
Seperti Manchester United, Manchester City juga tidak bermula dengan baik di peringkat awal saingan Premier League pada musim ini. Namun kini mereka berada di prestasi terbaik mereka dan tidak keterlaluan dianggap sebagai pasukan terbaik di eropah pada hari ini.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini berada di kedudukan teratas Premier League dengan kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat Manchester United. Mereka juga masih segar dari kejayaan menewasan Tottenham Hotspur di perlawanan akhir Piala EFL, selain turut mara ke separuh akhir Champions League musim ini.
Jentera serangan Manchester City pada musim ini tampil luar biasa walaupun tanpa penyerang utama seperti Segio Aguero atau Gabriel Jesus hampir sepanjang musim. Kehadiran Ruben Dias di bahagian pertahanan turut membaiki kerapuhan sebelum ini. Guardiola berpotensi membawa Manchester City menjuarai tiga trofi pada musim ini.
Baca juga artikel kami mengenai pengurus Premier League:
5 Destinasi Pilihan Untuk Jose Mourinho Selepas Dipecat Oleh Tottenham Hotspur
Lihat Etika Berpakaian Pengurus Premier League: Suit, Tracksuit Atau Jeans?