Status tiga pemain bintang yang menyertai Perak FC iaitu Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya kekal milik pasukan walaupun jika mereka gagal didaftarkan pada 22 Februari ini.
Ia berdasarkan kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Yunus Zakaria yang mengesahkan ketiga-tiga pemain itu telah menandatangani kontrak untuk bersama The Bos Gaurus bagi saingan musim ini.
“Indra [Putra], Wan Zack dan Syamim [Yahya] antara pemain baharu yang kita tandatangani musim ini. Tetapi kita tidak boleh mendaftarkan mereka berikutan ‘registration embargo’ daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Sekalipun tidak dapat bermain pada awal musim ini, mereka sudah ada kontrak dengan kita. Dijangkakan kita akan mendaftar nama mereka pada jendela perpindahan kedua pada Mei depan,” jelas Yunus Zakaria.
‘Bukan Biasa-Biasa’ – Skuad Liga Premier Perak Kalahkan Sri Pahang Yang Dibarisi Hidalgo & Lee Tuck
Ketiga-tiga pemain itu telah mempamerkan prestasi memberangsangkan bergandingan bersama pemain-pemain muda Perak sepanjang pra-musim namun, mereka perlu menunggu sedikit masa untuk dibolehkan turun beraksi. Mereka dijangka akan terlepas sekurang-kurangnya lapan perlawanan awal Liga Premier.
“Untuk makluman, kami ambil alih Perak FC pada 24 Disember tahun lalu dan memulakan sesi latihan pada awal Januari 2022 iaitu lewat sebulan berbanding pasukan lain.
“Jika kami tak sempat untuk daftarkan Indra, Wan Zack dan Syamim, kami kena tunggu pula pada ‘window transfer’ Mei nanti. Ketika itu, sudah lapan perlawanan berlangsung.
“Apapun, kami cuba elakkan daripada pelan B. Kalau boleh kami nak kekal dengan pelan A yang mana semua pemain dapat bermain daripada awal musim,” tegas Yunus tentangnya.
Perak yang bakal beraksi dalam Liga Premier musim ini sedang bergelut bagi menjelaskan hutang melibatkan tunggakan gaji para pemain termasuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang berjumlah hampir RM1.8 juta.
Menurut laporan Sinar Harian, sebahagian besar hutang didapati melibatkan tunggakan gaji pemain import musim lalu seperti Leandro dos Santos berjumlah RM614,301.44, tidak termasuk 5 peratus faedah tambahan, Raianderson de Costa Morais (RM526,935.92 dengan 5 peratus faedah) dan Jeon Hyo Seok (RM419,080).
Sementara itu, laman penyokong Perak, PERAK POWER pula mendedahkan yang pemain-pemain baharu termasuk staf baharu musim ini juga masih belum mendapat gaji bagi bulan Januari dan ia dilihat bakal menginjak ke bulan Februari pula. Untuk pemain-pemain yang kekal, tunggakan adalah sejak November.
Bagi pemain yang telah meninggalkan pasukan, tunggakan gaji adalah untuk dua bulan iaitu November dan Disember. Namun, untuk staf lama yang masih bersama pasukan, tunggakan gaji adalah sejak September sehingga Januari ini. Jika dikira, sudah hampir masuk enam bulan tidak bergaji, jika Februari menjengah.