ZamSaham ‘Serang’, FAM ‘Counter’ Dengan Rakaman Temu Bual

Norizam Tukiman ZamSaham Kelantan FC FAM

Semalam, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengamuk di media sosialnya dek kerana satu kenyataan, ‘Kelantan boleh didenda potong tiga mata oleh FAM’.

Majoriti penyokong Kelantan mengaku akan berada di belakang pemilik pasukan yang juga lebih dikenali sebagai ZamSaham itu yang memilih untuk ‘menyerang’ secara terbuka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi postingnya itu.

Ianya tercetus melalui sebuah tajuk berita daripada Bernama dan Harian Metro yang menyatakan yang Kelantan bakal berdepan dengan hukuman pemotongan mata sekiranya masih gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

Cerita di Harian Metro, Bernama

Memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub, jumlah tuntutan rasmi terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) adalah RM187,778.92 melibatkan Fauzi Roslan berjumlah RM63,628.18 dan Zulfahmi Awang (RM50,000).

Berikut adalah baki tunggakan antara KAFA dan bekas pemain mereka:

  • Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99)
  • Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000)
  • Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075)
  • Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877)
  • Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681)
  • Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279)
  • Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25)
  • Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681); dan
  • Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50)

Menurut Harian Metro yang memetik daripada Bernama, keputusan pemotongan mata dicapai pada Jawatankuasa Status FAM dan bakal dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM jika KAFA gagal melunaskan tunggakan itu dalam tempoh yang ditetapkan.

ZamSaham marah, soal perjuangan FAM

Berikutan itu, ZamSaham naik berang dan memuat naik status di laman sosialnya dengan berkata, “KAFA dah jelaskan, baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC dah nak fokus ke depan. FAM pula sepatutnya membantu [dalam] penswastaan.”

“Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak 3 mata ke media tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu. Mohon FAM biar lebih bijak dari biasa,” tegasnya yang menerima respon hampir dua ribu penyokong Kelantan.

Menariknya di dalam postingnya itu turut diselitkan persoalan buat FAM yang kemudiannya langsung tidak dijawab oleh FAM menerusi Setiausaha Agungnya.

Soalnya, “Hutang-hutang MFL siaran perlawanan belum bayar! Hutang MFL duit referee pun belum bayar! Apa perjuangan FAM? Renovate office?”

Selepas itu, terdapat lagi muat naik status ZamSaham yang ‘rancak’ menyerang FAM dengan sindiran ‘pedas’ seperti, apa yang FAM perjuangkan selama ini.

Antara sindiran lainnya kepada FAM adalah, “Ranking Bola Malaysia 153 dunia. Paling memalukan!! Siapa yang urus dan jaga bola sepak Malaysia?”

Harap bertenang saudara ZamSaham

Tidak salah untuk lantang bersuara. Ya, mereka mungkin berada di pihak yang benar. Kenyataan di Bernama itu mungkin telah ditukar untuk menjadikannya lebih sensasi. Tetapi, sebagaimana saranan FAM, ZamSaham sepatutnya tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial sebaliknya bertanya.

Kenapa? Kelantan berpotensi menjadi pasukan yang bergerak lebih baik di bawah pentadbirannya, tetapi jika awal-awal beliau ‘dihukum’ akibat terlalu lantang, ia akan merugikan The Red Warrior di kemudian hari. Harap sejarah tidak berulang.

Pada 4 April 2012, FAM telah menjatuhkan hukuman gantung dua tahun setengah kepada Tan Sri Annuar Musa dan hilang status jawatan yang dipegangnya, Timbalan Presiden FAM serta Presiden KAFA akibat membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara dan pengendali, Datuk K. Rajagobal.

Sebelum itu, dua individu berpengaruh turut pernah digantung oleh FAM selepas mengkritik badan induk tersebut iaitu Allahyarham Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. Ketiga-tiganya lantang bersuara.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau tidak mengeluarkan kenyataan sebegitu. Turut disertakan adalah rakaman temu bual bersama wartawan Bernama tersebut yang jelas tidak menyatakan mengenai pemotongan mata.

Katanya, “Saya pun tak nak speculate atau give any indication yang mungkin akan spark benda yang tidak diingini di peringkat domestik, hubungan antara FA dan FC.”

“Tetapi, sebagaimana saya katakan tadi, Kelantan FA dalam mesyuarat tempoh hari sudah beri jaminan atau persetujuan untuk cuba membuat bayaran tersebut dan saya harap perkara itu akan dibuat,” ujarnya dalam rakaman temu bual tersebut.

Ikut undang-undang, Kelantan FC tanggung liabiliti

Begitupun, terdapat satu perkongsian mengenai isu ini oleh seorang peguam yang arif dalam undang-undang berkaitan bola sepak, Tetuan Zhafri Aminurashid.

Menurutnya, “Berdasarkan kepada Artikel 24ter FIFA Regulations on the Status and Transfer of Players (January 2021 edition) jelas menyatakan sekiranya sesuatu kelab menggunakan slot atau tempat yang diterima daripada entiti yang sebelumnya adalah dikenali sebagai “sporting successor”.

“Sehubungan dengan itu, kesemua liabiliti dan hukuman boleh dilanjutkan kepada pemilik yang baharu jika menggunakan slot atau tempat entiti yang mempunyai kes atau hukuman terdahulu,” ujar kenyataan di media sosial peguam tersebut.

Begitupun, sudah dijelaskan oleh ZamSaham dan juga Stuart Ramalingam yang KAFA mengambil tanggungjawab tersebut dan beri jaminan untuk membayar hutang.

Oleh itu, rasanya isu ini boleh diselesaikan dengan lebih baik berbanding ‘berperang’ mengeluarkan kenyataan di media sosial masing-masing. Mungkin tindakan sudah tidak boleh diambil disebabkan pindaan kepada Artikel 88 pada Ogos 2013 di Kongres Tahunan FAM ke-49, namun, diharapkan kedua-dua pihak dapat selesaikan secara elok.

Menurut muat naik terkini status ZamSaham, beliau sudah menerima surat ‘cinta’. Mungkin ianya merujuk kepada isu yang sedang hangat berlangsung itu ketika ini.

KREDIT FEATURED IMAGE: TRW KELANTAN FC

Baca lagi artikel lain mengenai ZamSaham dan Kelantan FC:

Umpama ‘Restart’, Kelantan FC Serap Masuk 90 Peratus ‘Ubi Muda’

Selepas Berguru Dengan TMJ, Ini Yang Pemilik Baru Kelantan Kena Buat

Perjalanan 58 Hari ZamSaham Ubah Landskap Bola Sepak Kelantan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN