Jurulatih berpengalaman dari Croatia, Bojan Hodak mahu ubah perjalanan skuad Kuala Lumpur bermula musim ini dengan lebih cemerlang bagi memastikan pasukan mampu terus kekal dalam saingan Liga Super untuk jangka masa panjang.
Beliau yang dilantik sebagai pengendali baharu skuad Warga Kota itu menyifatkan Kuala Lumpur sering kali bergelut untuk berada di tahap memuaskan dalam saingan Liga Super sejak musim 2018 sehingga mereka tersingkir ke Liga Premier pada musim lalu.
Jelasnya, kejayaan sesebuah pasukan apabila layak beraksi di divisyen teratas Liga Malaysia tidak akan bermakna sekiranya mereka gagal untuk merangka pelan terbaik bagi memastikan skuad ini terus mampu bertahan agar tidak lagi tersungkur.
Justeru, itulah sasaran yang ingin dilakukan oleh bekas pengendali skuad Bawah 19 Tahun Negara ini sebaik sahaja menerima tawaran mengendalikan skuad Kuala Lumpur agar pasukan dapat mengharungi musim 2021 dengan lebih gemilang berbanding musim-musim lalu.
“Saya tengok pasukan ini mempunyai kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda yang saya rasa mereka mampu untuk menghasilkan kerja yang cemerlang untuk pasukan musim ini.
“Saya mahu mereka ingat bahawa mereka asalnya datang daripada Liga Premier, dan kini apabila berada di Liga Super, semuanya akan berbeza dan mahu atau tidak, kita kena berusaha untuk kekal lebih lama dalam divisyen teratas ini.
“Bila saya nilai balik prestasi pasukan sebelum ini, apabila Kuala Lumpur kembali layak beraksi di Liga Super pada 2018 dan 2019, mereka sentiasa berada di kedudukan terbawah atau pun tiga tercorot sebelum akhirnya kembali semula ke Liga Premier pada tahun lalu.
“Jadi, kalau boleh saya tidak mahu lagi tengok perkara sama berulang setiap kali Kuala Lumpur layak ke Liga Super dan ini yang saya mahu ubah agar pasukan ini mampu bertahan untuk jangka masa lebih panjang bermula musim ini”, katanya.
Nama Hodak tidak asing lagi dalam arena bolasepak tempatan terutamanya apabila pernah membawa Kelantan meraih kejuaraan Treble pada tahun 2012 selain berjaya membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super 2014.
Pada tahun lalu, jurulatih berusia 50 tahun ini membimbing kelab Indonesia, PSM Makassar dan kini apabila kembali ke dalam kancah Liga Malaysia, semestinya beliau enggan terlepas untuk mencipta kejayaan baharu buat Kuala Lumpur sepertimana yang telah dilakukan ketika bersama Kelantan dan JDT.
“Sebelum saya terima tawaran daripada Kuala Lumpur ini, banyak persoalan saya utarakan kepada Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur) dan beliau berjaya menyakinkan saya dengan misi dan pelan jangka masa panjang kelab ini.
“Tidak kira bekerja di Liga Indonesia atau di Liga Malaysia, apa yang saya utamakan adalah bagaimana sesebuah kelab itu bekerja kerana sekiranya kelab itu bergerak lebih profesional dan lebih tersusun, semestinya kita akan lebih jelas dengan hala tuju pasukan.
“Jadi, apabila saya dapat kembali ke Liga Malaysia, saya percaya dengan segala perancangan dan idea yang diutarakan oleh Stanley, bukannya hanya ingin tangkap muat dan sekadar fikir untuk dapat keputusan cepat sahaja seterusnya gagal di pertengahan jalan”, tambah Hodak lagi.
Kredit featured image:
Baca artikel lain dari kami mengenai Bojan Hodak:.
Bojan Hodak Akur Dengan Keputusan FAM Tidak Lanjutkan Kontraknya