Jenama tempatan disahkan bakal menjadi penaja rasmi kelengkapan buat Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 yang akan membuka tirainya pada 26 Februari.
Perkembangan terkini itu disahkan oleh Pengerusi Perak FC Sdn Bhd merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dalam satu sidang media yang diadakan di Ipoh, malam tadi.
Ahmad Faizal berpendapat langkah itu adalah sebagai salah satu tanggungjawab buat pasukan tersebut untuk membantu jenama tempatan yang sudah pastinya terjejas susulan wabak COVID-19.
”Sepertimana semua sedia maklum, isu pendemik COVID-19 ini telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam sektor ekonomi dan salah satu daripada sektor yang turut terjejas adalah industri tekstil.”
”Bertindak atas kesedaran ini, pihak Lembaga Pengarah Perak FC ingin turut sama membantu dalam memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan memilih jenama tempatan sebagai pembekal pakaian sukan rasmi skuad Perak FC 2021.”
”Dengan objektif untuk membantu pengusaha tempatan bagi menstabilkan semula ekonomi dan struktur perniagaan mereka, memperkenalkan jenama tempatan ke industri bola sepak tanah air, membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha jenama tempatan dan memastikan harga jualan yang lebih mampu milik tetapi mempunyai kualiti yang setanding dengan jenama antarabangsa.”
Menurut Ahmad Faizal lagi, perbincangan bersama beberapa pengusaha jenama tempatan yang berpotensi itu sudah memasuki fasa akhir dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Perak merupakan pasukan pertama dalam saingan Liga Malaysia yang menjalinkan hubungan kerjasama dengan jenama tempatan, Al Ikhsan Sports yang menggunakan label AL Sports pada musim 2015.
Hasil kerjasama dengan jenama tempatan ini, para penyokong Perak pasti akan tersenyum lebar berikutan harga jersi atau barangan rasmi pasukan tersebut pasti akan dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding sebelum ini.
Harga barangan rasmi yang lebih rendah secara tidak langsung akan membuatkan para penyokong tidak akan berfikir panjang untuk mendapatkan barangan original. Situasi menang-menang buat semua pihak.
Baca artikel lain dari kami mengenai Perak FC:
Adly Shah: Persiapan Perak FC Berjalan Lancar, Kekalkan 80 Peratus Pemain Utama