Pengurus AC Milan, Stefano Pioli tidak mendabik dada dengan apa yang sedang dinikmati apabila skuad bimbingannya pada ketika ini sedang mempamerkan prestasi baik apabila memimpin carta Serie A dengan kelebihan tiga mata berbanding seteru setempat, Inter Milan.
Ketika sudah pastinya pujian menggunung diberikan kepadanya susulan aksi lebih bertenaga ditampilkan AC Milan sebaik sahaja saingan 2020/21 bermula, Pioli lebih mengimpikan untuk terus meningkat dari semasa ke semasa.
Selepas mengharungi 11 perlawanan liga, skuad Rossoneri berjaya mencatatkan lapan kemenangan dan tiga keputusan seri untuk mengumpul 27 mata. Ia juga menjadikan AC Milan bersama-sama juara bertahan, Juventus sebagai pasukan yang masih belum mengalami sebarang kekalahan pada musim ini.
Keadaan itu bagaimanapun tidak membuatkan pengendali berusia 55 tahun terlalu dibuai dengan rasa selesa tetapi sebaliknya beliau lebih memilih untuk berpijak di bumi yang nyata sehinggakan ada yang menggelarkannya sebagai ‘The Normal One’.
”Ia satu perkara yang menggembirakan, sekiranya dengan ‘normal’ yang anda maksudkan ialah seorang pengurus yang mahu meningkat dan terus berkembang pada setiap masa.”
”Saya bertuah kerana bekerja dalam bidang bola sepak, pertamanya sebagai pemain dan kemudiannya menjadi seorang jurulatih. Di mana ia sentiasa menjadi impian saya.”
”Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya tidak mempunyai karakter dan tekad yang tinggi,” ujar Pioli menurut laporan One Football.
”Dalam bola sepak, terlalu ramai orang yang keliru antara kesantunan dan rasa hormat dengan kekurangan karisma. Saya juga sering marah-marah, walaupun di Milan pada ketika ini saya kurang melakukannya. Saya seorang yang sangat berbeza di luar padang.”
”Saya lagi suka untuk berterus terang dan jujur tetapi kadangkala sebagai jurulatih, anda perlu untuk berubah ke sisi lain untu sesuatu yang lebih baik buat pasukan.”
”Ada keseimbangan yang rumit dalam pasukan dan anda perlu untuk mempertimbangkan risiko dan faedah untuk mengambil satu-satu langkah tersebut.”
”Perkara yang benar-benar membuatkan saya marah ialah apabila seseorang tidak bekerja keras untuk mencapai potensi mereka,” tambah Pioli lagi.
Kredit featured image: Alessandro Sabattini/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Stefano Pioli:
Satu Pelan Pioli Buat Ibrahimovic Selepas Jaringkan 6 Gol Dalam 3 Perlawanan Liga
Pioli Enggan Terlalu Selesa, Akui Kelab Besar Mula Bangkit Kejar Milan
Stefano Pioli Berjaya Buat Satu Benda Yang Pengurus AC Milan Lain Gagal