Pemain di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kesemuanya dilatih dengan latihan bertaraf tinggi sekaligus menjadikan mereka bersedia untuk bersaing dalam Liga Premier.
Ketua Pembangunan Remaja Negeri Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Aminuddin Hussin berkata, sememangnya kita mahukan mereka beraksi dalam perlawanan kompetitif seperti di Liga Premier.
“Liga Premier adalah saingan yang setaraf dengan mereka. Jika beraksi dalam saingan lebih rendah, pemain-pemain di AMD sudah pun bermain di Piala Belia dan Piala Presiden seawal usia mereka 16 tahun.”
“Maka, tiada saingan yang setanding buat tahap atau ‘level’ mereka setakat ini selain di Liga Premier.”
“Kalau hendak fikirkan kecederaan, kita boleh dapat dimana-mana sahaja hakikatnya ia terpulang pada kredibiliti seseorang jurulatih itu dalam menyediakan pemain-pemainnya.”
Aminuddin menambah, inisiatif menubuhkan Skuad Projek FAM-MSN ini sangat baik ekoran ia adalah kesinambungan kepada apa yang diusahakan ketika ini.
“Jika dilihat tidak semua graduan AMD akan disunting oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia maka nanti bakat mereka akan habis begitu sahaja. Mungkin pasukan-pasukan ini merasakan pemain ini masih muda, kurang yakin …saya tidak pasti.
“Yang diambil pula adakah khidmat mereka akan digunakan sebaiknya mungkin seperti yang kita latih di akademi? Maka pendekatan yang diambil FAM-MSN ini umpama penyelamat buat graduan kerana di dalam skuad ini pastinya mereka akan dibangunkan dengan seimbang seiring dengan apa yang sudah dipelajari mereka sepanjang di akademi.
“Kita tidak boleh terlalu fikir akan kecederaan bak kata pepatah ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” katanya sambil menekankan pemain-pemain ini bukan beraksi untuk menang sebaliknya untuk pembangunan.
Senada dengan Aminuddin, ialah Pendidik Jurulatih dan Pencari Bakat NFDP, Datuk Richard Scully, yang menekankan keupayaan dan kredibiliti jurulatih memainkan peranan utama dalam penyediaan pemainnya bagi mengelakkan kecederaan.
”Tidak wajar jika seseorang mengatakan tindakan meletakkan pemain-pemain ini ke Liga Premier akan mendatangkan kecederaan sekaligus akan membunuh mereka.”
”Jika dilihat, atas pimpinan jurulatih terdahulu pemain-pemain AMD juga pernah cedera.”
”Hakikatnya inisiatif ini sebenarnya hebat bagi menyediakan dan mendedahkan pemain-pemain ini kepada perlawanan sebenar dan kompetitif,” katanya.
Kredit featured image: Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari
Baca artikel lain dari kami mengenai AMD dan Liga Premier:
Harimau Muda 2.0 Perlu Untuk Menjamin Kesinambungan Graduan AMD?
MFL Sahkan Hanya 10 Pasukan Sahaja Layak Bersaing Di Liga Premier 2021