Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memberikan peringatan kepada semua pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) supaya menggunakan Kontrak Pemain Profesional baharu dalam memberikan kontrak kepada pemain mereka yang berkuatkuasa pada 19 November 2020.
Ia berikutan terdapat beberapa pindaan pada klausa kontrak yang bertujuan untuk memastikan kepentingan kedua-dua pihak dilindungi di mana pihak PFAM turut terlibat bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam penetapan pindaan tersebut.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail menerusi laman sesawang persatuan tersebut, beliau juga menggesa agar setiap pasukan mengambil maklum berhubung penggunaan Kontrak Pemain Profesional ini serta tidak mahu pasukan-pasukan terlibat menambah terma-terma tambahan yang bercanggah dengan terma asas dalam kontrak baharu itu.
Ia berikutan terdapat pasukan yang memasukkan terma tambahan dengan meletakkan laporan prestasi dan kecederaan pemain sebagai ‘lesen’ untuk penamatan kontrak.
PFAM berpendapat perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana ia nyata telah menyongsang dengan semangat asal Kontrak Pemain Profesional
Antara saranan dan pindaan yang difikirkan oleh PFAM dapat membantu kedua-dua pihak ialah dengan memasukkan perkara prosedur yang perlu dibuat oleh seseorang pemain yang ingin menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji yang berjumlah lebih dari dua bulan.
Selain itu, klausa Force Majeure juga telah diwujudkan, yang mana buat pertama kali klausa tersebut diperkenalkan dalam sejarah kontrak bola sepak Malaysia. Keadaan ini mengambil iktibar daripada serangan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan sangat besar kepada bolasepak tempatan terutamanya terhadap kepentingan pemain dan pasukan.
Dalam perkembangan sama, PFAM juga turut memberikan komen penambahbaikan kepada perkara berkenaan prosedur rungutan bagi hal-hal berkaitan kontrak, pelepasan pemain untuk panggilan tugas pasukan kebangsaan dan juga berhubung skim perlindungan insurans yang perlu diberikan perhatian terperinci di dalam kontrak.
Di samping itu, terdapat juga klausa di dalam Kontrak Pemain untuk menamakan wakil atau intermediari bagi pemain.
PFAM turut mengingatkan agar pemain menggunakan intermediari yang sah dan berdaftar bersama FAM, bagi melindungi kepentingan para pemain sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, memandangkan FAM hanya akan mendengar tuntutan terhadap agen, wakil atau intermediari yang berdaftar dengan FAM sahaja.
”Sebagai Persatuan Pemain, PFA Malaysia juga ingin mengingatkan kepada semua ahli PFAM, supaya melaksanakan obligasi kontrak dengan penuh dedikasi dan berintegriti.”
”Jangan gunakan klausa-klausa seperti di Para 10, sebagai “perisai” untuk para pemain mengambil sikap sambil lewa dalam isu prestasi bersama pasukan.”
”Ingatlah, ini adalah periuk nasi anda. Dalam suasana industri bolasepak Malaysia yang semakin mengecil, pasukan kini semakin selektif dalam mengambil pemain, dan sikap sambil lewa serta tidak mahu memberikan prestasi yang terbaik pastinya akan menjejaskan nama anda dan seterusnya menutup peluang bersama pasukan lain di masa akan datang,” ujar Izham lagi.
Kredit featured image: Facebook PFA Malaysia
Baca artikel lain dari kami mengenai PFAM:
FAM & PFAM Duduk Semeja, Bincang Penyelesaian Isu Bola Sepak Malaysia
PFAM: Kontrak Antara Dua Pihak Perlu Dihormati & Dilaksanakan
FIFPRO Asia/Oceania Legal Conference Dimensi Baharu Kebajikan Pemain