Pemain berpengalaman Kuching FA, Joseph Kalang Tie berhasrat untuk terus kekal bersama pasukan itu sehingga kariernya berakhir selepas berpuas hati dapat menamatkan saingan Liga Premier 2020 di kedudukan empat terbaik, musim ini.
Meskipun belum pasti bilakah beliau bakal meninggalkan arena bola sepak, namun pemain berpengalaman ini mengakui enggan lagi berhijrah dan memutuskan untuk terus kekal bersama Kuching FA [bakal dikenali Kuching City FC] pada musim hadapan dan musim-musim akan datang selagi khidmatnya masih diperlukan.
Jelasnya, walaupun Kuching FA masih lagi baru dalam saingan Liga Premier, namun kejayaan mereka untuk berada di tangga keempat liga merupakan pencapaian yang cukup berharga buat dirinya dan rakan sepasukan.
Justeru, Joseph percaya dia membuat keputusan yang tepat untuk terus kekal bersama Kuching dan tidak mustahil akan terus menabur bakti bersama pasukan di negeri kelahirannya itu sehingga kariernya berakhir.
”Bagi saya, biarlah saya kekal di negeri saya sendiri dan saya tidak mahu fikir untuk berhijrah ke mana-mana, mungkin sampai saya habis karier.”
”Untuk saya bersara, mungkin lambat lagi, bukan dalam tempoh terdekat, cuma saya rasa saya akan terus kekal di negeri saya sahaja dan ingin sentiasa membantu Kuching FA untuk terus meningkat.”
”Tahun ini sebenarnya memang amat mencabar untuk kita semua dengan isu Covid-19, tetapi saya berbangga dengan pasukan saya, walaupun hadap macam-macam, tapi kami mampu berada di tangga keempat liga.”
”Mungkin suatu hari nanti, tiada yang mustahil untuk kita tengok pasukan ini layak ke Liga Super pula dan saya mahu saya menjadi sebahagian daripada sejarah itu nanti,” jelasnya.
Apa yang pasti, pemain berusia 33 tahun ini percaya beliau dan rakan sepasukan akan lebih matang untuk sentiasa bersedia berdepan dengan segala situasi akan datang sekiranya wabak Covid-19 ini belum berakhir.
Joseph Kalang Tie sebelum ini membuat keputusan beraksi bersama Kuching FA pada musim lalu dalam saingan Liga M3 sehingga pasukan itu layak beraksi di Liga Premier buat kali pertama, musim ini.
Kredit featured image: Kuching City FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Kuching FA:
Kuching FA Timba Pengalaman Bersama Pasukan ‘Senior’ Liga Malaysia
Sarawak FA & Kuching FA Bergandingan Bahu Demi Bola Sepak Negeri
Status Pendatang Baharu Tak Halang Kuching FA Tempah Slot Ke Piala Malaysia