Harry Kane meraikan penampilan ke-300 bersama Tottenham Hotspur dengan gol ke-200 dalam kemenangan dominan 3-1 ke atas Ludogorets di Bulgaria.
Penyerang England berusia 27 tahun itu sememangnya sedang dan akan berada dalam lipatan sejarah Spurs. Tetapi dengan gol ke-200 ini, Kane berada dalam landasan terbaik untuk mengatasi rekod jaringan legenda Jimmy Greaves dan Bobby Smith, jika kekal sihat dan setia bersama di kelab utara London itu.
Kane boleh dan sepatutnya menjaringkan dua gol apabila peluang minit ke-2 yang diperolehinya hasil hantaran Harry Winks sekadar melewati palang. Pada minit ke-13, beliau menebus kesilapannya itu dengan menanduk masuk sepakan penjuru Lucas Moura untuk 1-0 kepada pelawat.
Kapten England itu kemudiannya mencetak nama sebagai penyumbang gol pula apabila membuat hantaran lintang yang berjaya disudahkan oleh Moura.
Melihat tuan rumah yang langsung tidak mampu memberikan tentangan, Jose Mourinho kemudiannya mengeluarkan Kane pada separuh masa kedua dan memasukkan penyerang pinjaman dari Benfica, Carlos Vinicius.
Ia adalah petunjuk jelas Mourinho mahu memastikan Kane kekal segar menjelang lawatan ke halaman West Brom untuk aksi Premier League hujung minggu ini.
Ia juga menunjukkan Mourinho telah belajar dari kesilapannya pada minggu lepas selepas menyaksikan anak buahnya kalah kepada Royal Antwerp. Semuanya gara-gara membariskan pemain simpanan sebagai kesebelasan utama.
Walaupun Ludogorets membalas dengan gol separuh masa kedua Claudiu Keseru, ia masih tidak mampu menggugat dominasi Spurs. Tampanan mudah Giovani Lo Celso hasil umpanan Son Heung-min pada minit ke-62 mengesahkan kemenangan mudah pelawat, sekaligus mencerahkan semula peluang mereka dalam saingan kumpulan J UEFA Europa League.
Mengejar kehebatan Greaves
200 gol dalam 300 perlawanan, 101 daripadanya datang dalam 135 perlawanan terkini dan 100 daripadanya di halaman lawan – rekod Kane sebagai penjaring gol sememangnya akan kekal dalam memori penyokong Spurs sebagai pemain terbaik pernah kelab mereka hasilkan.
Rekod seterusnya yang akan menjadi buruan Kane adalah rekod Bobby Smith, yang menjaringkan 208 gol (antara tahun 1955 hingga 1964) dan rekod Jimmy Greaves yang mencetak 266 gol untuk Spurs.
Selain ketajaman penyudah Kane dan kreativiti Son, Mourinho juga pastinya akan gembira dengan persembahan Gareth Bale yang nampak semakin mantap dan Vinicus yang sentiasa berbahaya.
Steven Bergwijn juga menampilkan persembahan baik dari bangku simpanan. Bagaimanapun masih tak nampak kelibat Dele Alli akan menyinar di bawah Mourinho apabila beliau kekal di bangku simpanan.
Baca juga artikel lain yang berkaitan:
Hanya Sekali Gareth Bale-Harry Kane Pernah Main Bersama Pada 2011, Bagaimana Kini?