Liverpool mengekalkan takhta kumpulan D UEFA Champions League selepas menewaskan pendatang baru FC Midtjylland 2-0, tetapi ia datang dengan harga mahal selepas Fabinho dilanda kecederaan.
Fabinho yang mengemudi jentera pertahanan tengah bersama Joe Gomez sejak kehilangan Virgil van Dijk – juga akibat kecederaan serius, terpaksa digantikan oleh Rhys Williams pada minit ke-30 selepas disyaki cedera hamstring.
Dengan van Dijk dijangka akan terlepas aksi keseluruhan musim dan Joel Matip juga sedang cedera, Liverpool mengharapkan kecederaan Fabinho tidak serius dan mengambil masa terlalu lama untuk pulih.
Liverpool yang menurunkan kesebelasan utama tanpa trio serangan Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino, gagal mencatat walau satu percubaan tepat ke arah gol pada separuh masa pertama.
Ini adalah kali pertama sejak Ogos 2015 ketiga-tiga pemain ini tidak bermula dalam kesebelasan utama. Dan ini juga kali pertama The Reds gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke arah gol dalam 51 perlawanan di Anfield.
Divock Origi, Takumi Minamino dan Xherdan Shaqiri kesemuanya bergelut untuk memberikan impak yang diperlukan Jurgen Klopp. Sebaliknya pengurus berbangsa Jerman itu terpaksa menghantar ketiga-tiga pemain tersebut untuk menjamin tiga mata.
Bagaimanapun kedudukan berubah pada separuh masa kedua. Trent Alexander-Arnold bermain hantaran satu-dua kemas dengan Xherdan Shaqiri sebelum menghantar bola untuk mudah ditampan oleh Diogo Jota.
FC Midtjylland hampir menyamakan kedudukan selepas itu apabila pemain gantian Evander melakukan pusingan sebelum merembat.
Pasukan Denmark ini mungkin baru ditubuhkan pada 1999 dan baru dibelasah Atalanta 0-4 di halaman sendiri pada minggu lepas. Tetapi menentang juara Eropah enam kali pada awal pagi tadi, mereka menampilkan persembahan yang lebih baik.
Malah mereka berpeluang mendahului 1-0 terlebih dahulu selepas Anders Dreyer mendapat peluang. Bagaimanapun Alisson cekap menafikan bekas pemain Brighton itu.
Dreyer sekali lagi berpeluang menjaringkan gol beberapa minit sebelum Salah menggandakan kelebihan buat Liverpool. Bagaimanapun percubaannya sekadar singgah ke tepi jaring biarpun berjaya menewaskan Gomez dan Alisson.
Apabila Salah dijatuhkan oleh Paulinho dan dihadiahkan penalti, penyerang sayap Mesir itu tidak mensia-siakan peluang untuk menutup tirai perlawanan dengan kemenangan 2-0.
Dengan keputusan seri 2-2 Atalanta dengan Ajax, Liverpool kini dua mata di hadapan Atalanta selepas mengumpul enam mata daripada dua perlawanan. The Reds akan turun menentang Atalanta pada Selasa depan sebagai pelawat.
Baca juga artikel lain yang berkaitan: