Pemain tengah Manchester United, Juan Mata memuji aksi rekrut baharu, Donny van de Beek yang disifatkannya sebagai seorang pemain yang sangat bijak ketika membantu The Red Devils mencatatkan kemenangan 3-0 bertemu Brighton dalam kempen Piala Carabao, pagi tadi.
Beraksi sepenuh masa dalam perlawanan tersebut, van de Beek berjaya mencipta bantuan jaringan kepada gol kedua yang dihasilkan oleh Mata pada minit ke-73.
Dua lagi jaringan yang membawa Manchester United ke peringkat suku akhir itu disumbangkan oleh Scott McTominay pada minit ke-44 dan Paul Pogba melengkapkan kemenangan menerusi jaringan ketika aksi sebenar hanya berbaki 10 minit untuk ditamatkan.
Mata yang kemudiannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan menegaskan bahawa pemain berusia 23 tahun itu jelas memahami apa yang dimahukannya pada aksi tersebut.
”Ia merupakan bantuan jaringan yang sangat bijak. Dia juga adalah seorang pemain yang sangat bijak,” ujar Mata menurut laporan Goal.
”Saya suka bergandingan bersamanya kerana dia bijak mencari ruang kosong.”
”Dia memahami corak permainan bola sepak yang mana saya gemari, iaitu bermain [one-two], melakukan hantaran dan bergerak dan gol yang terhasil seperti itu.”
Aksi menarik yang ditampilkan oleh van de Beek mungkin dapat menjadi indikasi jelas buat Ole Gunnar Solskjaer untuk menurunkannya pada aksi liga hujung minggu ini selepas ejen pemain tersebut sebelum ini berang dengan minit perlawanan dinikmati kliennya itu dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Manchester United akan menghadapi tugas getir dalam aksi ketiga EPL apabila bakal melayani kunjungan Tottenham Hotspur pada Sabtu ini.
Kredit featured image: Andy Rain – Pool/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Donny van de Beek: