Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau gembira melihat bekas anak didiknya, Thiago Alcantara beraksi di England selepas melengkapkan perpindahan ke Liverpool, malam tadi.
Thiago yang masih segar dengan kejuaraan treble bersama Bayern Munich pada musim 2019/20 telah memeterai kontrak jangka panjang dengan perpindahannya dilaporkan bernilai £25 juta.
Sebagai salah seorang yang bertanggungjawab bagi mengembangkan bakat serta merekrut Thiago ketika beliau membimbing Bayern Munich, Guardiola pastinya turut berminat untuk membawa masuk Thiago ke Etihad Stadium.
Bagaimanapun, Guardiola menegaskan skuad bimbingannya itu sudah memiliki pemain yang mencukupi bagi mengisi posisi sama seperti Thiago di jentera tengah.
”Kami sudah mempunyai pemain yang cukup untuk mengisi posisi tersebut,” ujar Guardiola menurut laporan Sport Bible.
”Phil [Foden] boleh bermain di posisi itu, sebagai penyerang dan juga pemain sayap.”
”Saya gembira melihat Thiago datang ke England kerana England begitu menikmati pemain yang sangat bagus.”
Ketika beraksi bersama Bayern Munich sewaktu di bawah kendalian Pep Guardiola, Thiago telah membuat 80 penampilan dan membantu gergasi Jerman itu menjuarai kempen Bundesliga bagi tiga musim berturut-turut.
Itu kisah lama, perjalanan baharu buat Thiago pastinya menjanjikan sesuatu yang lebih menarik kerana beliau kini berada di saingan liga paling popular di dunia.
Thiago yang masih belum menjalani latihan bersama skuad Liverpool hampir pasti tidak akan diturunkan pada perlawanan kedua EPL malam esok bertemu Chelsea pada jam 11.30 malam [waktu Malaysia] di Stamford Bridge.
Kredit featured image: Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Pep Guardiola: