Dua bulan lalu, ketika Semuanya BOLA mengeluarkan artikel ‘Thiago Alcantara Akan Bebas, Mengapa Liverpool Dikaitkan Dengannya?’, banyak yang kurang yakin.
Ketika itu, menurut sesetengah pembaca dan mungkin penyokong Liverpool, Thiago tidak sesuai dengan sistem yang digunapakai oleh Jurgen Klopp di Liverpool, malah ada yang berasa tidak logik perpindahan akan berlaku kerana tiada tawaran.
‘Tak ngam’ dengan taktikal Klopp?
Kini segalanya sudah diselesaikan antara Liverpool dan Bayern Munich. Thiago hanya menanti masa untuk diumumkan sebagai pemain baharu The Reds dengan nilai perpindahan £27.3 juta. Ia satu nilai yang berbaloi untuk pemain tersebut.
Jadi, apa yang Thiago mampu hadirkan kepada jentera tengah Liverpool? Ada yang menyatakan beliau ‘tak ngam’ dengan taktikal Jurgen Klopp. Ada juga pendapat yang mengatakan Thiago akan memainkan peranan seperti Coutinho dahulu.
Mungkin Jurgen Klopp mahu mempelbagaikan pilihan di jentera tengah. Sebelum ini, ada pendapat yang menyatakan yang jika kapten, Jordan Henderson cedera, Liverpool besar kemungkinan akan kalah. Jadi, mungkin ini adalah solusi untuk masalah itu.
Selepas meninggalkan Barcelona untuk mencari minit permainan, Thiago berjaya menghidupkan semula kariernya di bawah Hansi Flick di mana beliau berperanan sebagai deep-lying playmaker bersama pemain lebih bertahan, Joshua Kimmich.
Skilnya membantu jentera tengah yang ditekan
Walaupun hampir keseluruhan kariernya, beliau bermain sebagai nombor 8, perubahan kepada peranan nombor 6 dilihat tidak langsung menjejaskannya. Beliau melaluinya dengan cemerlang di Bayern Munich dengan skil teknikalnya yang sangat baik.
Menurut analisis daripada The Football Faithfull, kekuatan utamanya adalah kemampuannya untuk bergerak biarpun ketika dalam tekanan. Beliau juga lebih gemar bergerak ke depan dan melihat kepada keseluruhan padang sebelum bergerak.
Ini membolehkannya melihat rakan yang bersedia untuk menerima hantarannya, membuat analisis pantas sebelum melakukan hantaran kepada rakan sepasukan. Beliau juga cekap menghidu pemain lawan yang merapatinya untuk meloloskan diri.
Thiago menggunakan sepenuhnya kebolehan teknikalnya untuk membolehkannya dan pasukannya keluar daripada tekanan di zon tengah. Di Bayern Munich, beliau akan membuka hantaran direct atau vertical kepada Serge Gnabry dan Kingsley Coman.
Beri ruang posisi lain untuk lebih ‘tenang’
Thiago juga boleh bertahan walaupun bertindak sebagai hub kreatif daripada belakang. Walaupun bertubuh agak kecil, beliau berjaya memenangi 70 peratus perebutan bola dan membuat 2.6 hadangan dalam 3 bentesan sepanjang 90 minit permainan.
Namun, realitinya, di Liverpool dan Premier League nanti, beliau akan berhadapan dengan permainan lebih pantas dan penuh tekanan. Liverpool lebih kepada permainan direct yang mana beliau tiada masalah untuk menyesuaikan dirinya dengan segera.
Mungkin kehadirannya nanti akan melepaskan sepenuhnya beban pemain bek sayap untuk mencipta peluang dan mereka boleh fikirkan cara lain untuk cipta peluang. Jordan Henderson, Fabinho atau Naby Keita juga boleh melepaskan peranan tersebut.
Dengan Jurgen Klopp memiliki lebih pilihan di jentera tengah, Thiago memiliki masa untuk diberikan peluang dan memberikan impak kepada The Reds. Mungkinkah kehadirannya perlu dirisaukan oleh pencabar-pencabar liga lain? Mungkin juga.
Penutup
Masih terlalu awal untuk katakan beliau akan berjaya di Liverpool. Tetapi secara pandangan awal berdasarkan gaya permainannya, beliau dilihat mampu membantu jentera tengah dan Jurgen Klopp pakar menyesuaikan taktikal dengan pemainnya.
Bagaimana anda melihat kepada perpindahan ini? Adakah Jurgen Klopp tersilap membawa masuk bekas pemain Barcelona ini atau mungkin inilah pemain terbaik dan berbaloi untuk membolehkan Liverpool terus berkuasa di Premier League?
KREDIT FEATURED IMAGE: Rafael Football