Newcastle United terus memandang serius persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila melengkapkan perpindahan bek kiri, Jamal Lewis dari Norwich City dengan yuran perpindahan bernilai £13.5 juta.
Meskipun gagal membantu Norwich City untuk terus kekal dalam kempen EPL, Lewis telah mempamerkan aksi meyakinkan sehingga berjaya menarik minat Liverpool dan Newcastle United untuk mendapatkan khidmatnya.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Newcastle United kini telah merekrut empat nama yang sinonim dalam kancah EPL apabila sebelum ini The Magpies telah membawa masuk Jeff Hendrick dari Burnley serta dua bekas pemain Bournemnouth, Callum Wilson dan Ryan Fraser.
Kehadiran keempat-empat pemain ini dilihat mampu menjadi nilai tambah buat Newcastle United yang menamatkan kempen 2019/20 di tempat ke-13 selepas mengumpul 44 mata hasil 11 kemenangan, 11 keputusan seri dan 16 kekalahan.
Menurut sumber laman sesawang rasmi Newcastle United, Jamal Lewis dan kelab tersebut telah memeterai kontrak perjanjian selama lima tahun dan pengurus pasukan, Steve Bruce memuji kualiti yang dimiliki pemain skuad kebangsaan Ireland Utara itu.
”Jamal merupakan prospek yang sangat menarik. Saya menyaksikan bakatnya berkembang dalam saingan Championship dua tahun yang lalu dan dia benar-benar berjaya dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.”
”Dia hanya berusia 22 tahun dan mempunyai masa depan yang indah di hadapannya jadi saya berharap dia akan menjadi pemain pertahanan sisi Newcastle United untuk tahun-tahun akan datang.”
”Ini minggu yang baik buat kami dengan pemain yang masuk. Kami perlu untuk bersabar tetapi yang penting para pemain ini meningkatkan kami,” tambah Bruce lagi.
Kredit featured image: Serena Taylor/Newcastle United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Newcastle United: