Perkara ini sudah semakin lama melarat dan penulis yakin ramai sudah mula bosan dengan situasi perpindahan membabitkan pemain Bayern Munich iaitu Thiago Alcantara.
Pemain yang kini menjadi rebutan beberapa kelab, masih lagi buntu untuk mencari ke mana hala dirinya untuk musim baharu. Tetapi, satu kenyataan pasti akan menjadi realiti adalah beliau tidak akan beraksi untuk Bayern Munich selepas ini.
Hal ini kerana, menurut Fabriizio Romano, Thiago kini sudah dikeluarkan dari senarai nama pemain yang menjalani latihan pra-musim Bayern Munich.
Beliau dilihat tidak menjalani ujian kesihatan dan menurut Romano, itu adalah tanda-tanda besar yang masanya bersama Bayern Munich bakal tamat.
Sungguhpun begitu, Romano menegaskan tempo untuk perjalanan keluar Thiago dari Bayern Munich ke kelab lain masih lagi dilihat perlahan walaupun terdapat beberapa kelab berminat mendapatkan pemain itu.
Liverpool dan Manchester United antara dua pasukan yang masih lagi berusaha untuk mendapatkan pemain itu.
“Liverpool masih berusaha untuk mendapatkan Thiago tetapi Bayern Munich tetap mahukan €30 juta. Malah, Jurgen Klopp dikatakan begitu gembira untuk mendapatkan pemain tersebut.”
Manchester United bagaimanapun masih belum memulakan langkah untuk mendapatkan Thiago secara rasmi, buat masa sekarang The Red Devils hanya menghubungi ejen pemain itu sahaja.
Chelsea yang turut terlibat dalam hal ini dikatakan secara rasminya tidak berada dalam posisi untuk mendapatkan pemain itu.
Manakala bekas kelabnya iaitu Barcelona tidak menjadikan Thiago sebagai keutamaan dengan mereka menjadikan Gini Wijnaldum sebagai sasaran utama.