Untuk sesiapa yang mengutuk Ligue 1 sebagai Farmers League, Kylian Mbappe telah meninggalkan satu mesej buat anda. Champions League nampaknya untuk mereka.
Buat kali pertama sejak 1991, saingan separuh akhir Champions League tanpa kelab daripada England, Itali dan Sepanyol. Hanya wakil daripada ‘Farmer League’ – Jerman dan Perancis akan bersaing iaitu RB Leipzig, PSG, Bayern Munich dan Lyon.
Kejutan lagi
Selepas juara lima kali Champions League, Barcelona dimalukan oleh Bayern Munich awal pagi semalam dengan kekalahan besar 2-8, kini giliran wakil Premier League, Manchester City pula lemas kali ini. Lyon menang 3-1 ke atas mereka, awal pagi tadi.
Champions League sentiasa ada magik dan juga kejutan, walaupun dilanda pandemik COVID-19, dramanya masih mampu menarik perhatian banyak pihak. Walaupun formatnya berubah akibat pandemik tersebut, ia tetap menghadirkan tumpuan.
Lyon berjaya melayakkan diri ke saingan separuh akhir dalam saingan yang berlangsung di Portugal dan bersama PSG, kelab daripada Ligue 1 akhirnya mencipta sejarah buat kali pertama dua kelab daripada Perancis akan berada di separuh akhir.
Mengetuai ‘serangan’ di Twitter, penyerang PSG, Kylian Mbappe dilihat mengeluarkan komentarnya, “Farmers League” berserta ikon badut dan tepuk tangan buat Lyon.
Jangan pandang rendah si petani
Sejak dijenamakan semula bermula pada saingan 1992, saingan separuh akhir Champions League semestinya akan ada wakil daripada Itali, England atau Sepanyol. Mereka adalah tetamu dan wakil tetap di peringkat empat pasukan terakhir.
Namun, kali ini, kita tidak akan melibat kelibat kelab-kelab yang dianggap gergasi Eropah. Malah tiada kelibat Cristiano Ronaldo mahupun Lionel Messi. Lebih menarik, ini juga pertama kali sejak 1995, tiada kelab England dan Sepanyol.
Rentetan ciapan Mbappe itu, terdapat pelbagai lagi komentar yang dapat dilihat di Twitter antaranya, “Who’s the farmer league now bit****.“, “… and they call us farmers league.“, dan juga paling menarik, “Farmers League semis. Nature is healing.”
Saingan separuh akhir Champions League akan mengambil tempat pada Selasa depan dengan RB Leipzig menentang PSG dan Lyon akan meneruskan langkah hebat mereka berdepan gergasi Bundesliga pula, Bayern Munich pada Rabu.
Penutup
Adakah Ligue 1 adalah ‘Farmers League’ seperti yang didendangkan? Nampaknya Champions League bukanlah suatu pertandingan yang mudah dijangka.
Apa pandangan anda mengenai separuh akhir Champions League kali ini? Apa yang menarik? Siapa lebih hebat? Mampu anda congak siapa akan menjadi juara saingan tertinggi kelab-kelab Eropah pasca pandemik COVID-19 ini?
KREDIT FEATURED IMAGE: TRANSFERMARKT