Wan Zack Haikal Wan Noor mungkin sudah boleh menarik nafas lega apabila akhirnya telah kembali beraksi di padang selepas hampir dua tahun hilang daripada radar.
Ia disebabkan kecederaan panjang yang dilaluinya sejak Januari 2019 ketika persiapan pra-musim untuk saingan musim tersebut. Beliau telah meledak dua gol dalam aksi pemanas badan menjelang kembalinya sepak mula Liga Super pada 26 Ogos depan.
Dua kali ACL, tahun 2013 dan 2019
Mengikuti bosnya, pengendali Selangor, B. Satiananthan yang berhijrah daripada FELDA United ke Selangor pada musim 2019 selepas membantu The Fighters menjulang kejuaraan Liga Premier 2018, karier Wan Zack Haikal terus tenggelam.
Manakan tidak, ketika persediaan pra-musim 2019, pemain berusia 29 tahun itu telah mengalami kecederaan ACL dalam aksi pemanas badan menentang Home United.
Mungkin sedikit melegakan, ianya tidak berlaku pada kaki yang sama, di mana Wan Zack Haikal pernah mengalami kecederaan ACL pada tahun 2013 ketika beraksi bersama kelab Jepun, FC Ryukyu yang memaksanya pulang terus ke tanah air.
B. Satiananthan ketika mengulas mengenai kecederaan tersebut pada ketika itu berkata, “Ketika kami membuat pemeriksaan perubatan ke atas kakinya sebelum dia menyertai kami, kekuatan kedua-dua kakinya okay. Dan itulah bolasepak.”
Satia gembira dengan Wan Zack
Dalam aksi pemanas badan baru-baru ini, Wan Zack Haikal telah kembali beraksi di padang. Pandemik COVID-19 telah membantunya untuk sempat kembali membantu Gergasi Merah musim ini. Dan, ianya dibalas dengan ledakan dua gol peribadi.
Selangor menang kedua-dua aksi tersebut iaitu 4-1 ke atas Pulau Pinang dan 3-0 ke atas UKM FC dengan Wan Zack Haikal dilihat tampil baik dan menerima pujian daripada pengendalinya. B. Satiananthan jelas gembira dengan prestasinya.
“Dia telah mendapat semula sentuhan dan keyakinan,” ujarnya. Tambah B. Satiananhan lagi, “Dan itu adalah petanda baik buat kita. Saya tidak pernah meragui kualiti Wan Zack, dia cuma tidak bernasib baik untuk mengalami kecederaan.”
“Gembira untuk melihat Wan Zack yang dahulu sudah kembali dan dia akan menjadi pemain penting buat Selangor apabila liga bersambung,” tegasnya kepada The Star Online.
Penutup
Di manakah Wan Zack Haikal akan bermain nanti? Jika dilihat beliau boleh beraksi di mana-mana posisi sebagai pemain tengah menyerang. Bekas pemain skuad Harimau Muda ini merupakan bintang muda terbaik negara satu masa dahulu.
Dengan ketiadaan penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun yang belum dapat kembali ke Malaysia, Selangor khabarnya akan menggunakan khidmat penyerang Selangor 2, Bajram Nebihi. Mungkinkah Wan Zack Haikal akan berada di belakangnya?
KREDIT FEATURED IMAGE: STADIUM ASTRO