Hanya orang ‘bodoh’ yang beli kelab bola sepak. Benda ini bukan saya cakap. Tapi dah banyak orang bijak pandai lain yang cakap.
Orang bijak pandai yang saya maksudkan adalah orang yang berjaya dalam perniagaannya. Syarikat mereka menggaji beratus-ratus, beribu-ribu pekerja. Keuntungan syarikat mereka berjuta-juta. Begitu juga nilai aset peribadi mereka.
Tapi orang bijak pandai ini, bila diajak membeli kelab bola sepak, reaksi pertama mereka adalah: kenapa? Kenapa nak beli kelab bola sepak, kata mereka?
Dalam buku Soccernomics, penulisnya Simon Kuper dan Stefan Szymanski menjelaskan kelab bola sepak dalam konteks bisnes dengan begitu cemerlang sekali:
“Bola sepak bukan sahaja satu bisnes kecil, malah ia bisnes yang tak bagus. Sesiapa yang pernah terlibat dalam industri bola sepak akan tahu ‘kebodohan’ adalah salah satu elemen dalam bisnes bola sepak, sebagaimana minyak adalah salah satu elemen dalam bisnes minyak dan gas (O&G).”
Sebelum Andrea Radrizzani membeli Leeds United pada musim panas 2017, rakan perniagaannya Ruggero Magnoni menasihatkannya supaya ‘tidak membazirkan duitnya dalam bola sepak’.
“Kerana bola sepak tak buat duit. Saya selalu nasihatkan dia (Radrizzani): demi kebaikan anak kau, janganlah buang duit dalam bisnes bola sepak.”
Take Us Home (Dokumentari terbitan Amazon Prime), 2019
Dalam bola sepak, apabila seseorang ahli perniagaan cuba mengurus kelab bola sepak seperti sebuah perniagaan yang sebenar, kelab tersebut tidak akan mencapai potensi sebenarnya.
Kenapa bola sepak bukan bisnes menguntungkan
Kita ambil sebuah contoh.
Apabila Alan Sugar, seorang usahawan teknologi UK, membeli dan membantu melangsaikan hutang Tottenham Hotspur pada Jun 1991, beliau berjanji akan menguruskan kelab Utara London itu ‘seperti sebuah bisnes’.
Dalam masa 6 tahun pertama Sugar mengurus Spurs sebagai pengerusi, kelabnya mencatat keuntungan £2 juta setahun.
Tetapi keuntungan Spurs ini langsung tidak membawa apa-apa makna kepada penyokong mereka. Dalam masa 9 tahun pertama Sugar di Spurs, kelab itu tidak pernah menduduki tangga keenam teratas liga dan hanya memenangi satu trofi iaitu League Cup.
Tak cukup dengan permusuhannya dengan penyokong, Sugar turut mencipta permusuhan dengan pemain-pemain Spurs melalui pendekatan ‘mengurus kelab bola sepak seperti sebuah bisnes’.
Beliau menjadi punca Jurgen Klinsmann, Teddy Sheringham, Sol Campbell dan Terry Venables meninggalkan Spurs. Klinsmann pernah dipetik berkata, “[Sugar] hanya bercakap tentang duit sampaikan saya tertanya-tanya mana satu dia lebih suka: bisnes atau bola sepak?”
Sheringham pula menulis dalam autobiografinya, punca beliau meninggalkan Spurs adalah kerana keengganan Sugar memberinya kontrak 5 tahun. “Dia tak percaya saya boleh bermain dalam kesebelasan utama pada usia 36 tahun.
Sheringham kemudiannya meninggalkan Spurs dan menyertai Manchester United selama 4 musim. Di Old Trafford, Sheringham membantu The Red Devils menjuarai 3 trofi Premier League, satu trofi FA Cup dan menjaringkan satu gol dalam perlawanan akhir UEFA Champions League.
Barangkali mengambil pengajaran dari kes Alan Sugar di Tottenham Hotspur, dah ramai ahli perniagaan yang membeli kelab bola sepak mengadaptasi pelbagai strategi lain untuk membawa kejayaan di buku akaun dan atas padang.
Tetapi keputusannya tak jauh beza. Hasil kajian di Premier League – liga paling tinggi nilai komersilnya di dunia – menunjukkan hanya 55% kelab mencatatkan keuntungan seiring dengan kejayaan di atas padang.
45% kelab lagi menunjukkan bahawa keuntungan kelab tak ada kena-mengena dengan prestasi di atas padang.
Dalam erti kata lain, 45% kelab Premier League ini menunjukkan kelab anda masih boleh mencatatkan keuntungan walaupun prestasi di atas padang tak memberangsangkan.
Kalau dilihat dalam konteks di Malaysia pun, saya tak percaya JDT mencatatkan keuntungan walaupun sudah menjuarai 6 trofi Liga Super, 5 trofi Piala Sumbangsih, 2 trofi Piala Malaysia, 1 trofi Piala FA dan Piala AFC.
Kos operasi satu pasukan Liga Super untuk semusim sahaja sudah mencecah minimum RM14.5 juta. Ketika zaman puncak Liga Super (musim 2018) mendapat banyak penajaan pun, setiap pasukan hanya menerima RM3 juta. Juara Liga Super pula hanya menerima RM1.5 juta.
Ini bermakna jika sesebuah pasukan Liga Super mahu mencatatkan keuntungan sebagai sebuah kelab profesional seperti di Eropah, mereka perlu meraih lebih RM10 juta daripada hasil penajaan korporat, jualan barangan dan tiket.
Celah mana untungnya?
Maka tak hairanlah majoriti pasukan masih terpaksa bergantung harap kepada duit cukai rakyat untuk membiayai kos operasi pasukan dalam Liga Super.
Kemampanan sasaran kelab bola sepak
Sekarang kita dah sahkan bahawa bola sepak bukanlah bisnes sesuai untuk buat untung.
Fakta ini bukan sahaja terpakai dalam industri bola sepak. Malah turut terpakai dalam industri sukan-sukan lain juga.
Fred Wilpon, jutawan hartanah memberitahu dalam majalah New Yorker, keputusannya membeli pasukan besbol, New York Mets dalam Major League Baseball (MLB) adalah supaya ‘orang dalam industri mahu buat bisnes dengan syarikat hartanahnya’.
Tujuan utama Florentino Perez membuat keputusan membeli James Rodriguez selepas kempen Piala Dunia 2014 bukanlah untuk menguatkan Real Madrid. Sebaliknya untuk dijadikan meyakinkan kerajaan Colombia supaya memberikan syarikatnya, Grupo ACS, kontrak tender pembinaan lebuhraya di sana.
Dalam industri bola sepak (dan sukan komersil lain), pemilik kelab tidak boleh membuat sasaran untuk membuat keuntungan. Keuntungan hanyalah bonus. Sasaran utamanya adalah kemampanan. Atau dalam bahasa mudahnya, balik modal.
Kelab bola sepak kena berfikir seperti NGO – sebuah pertubuhan yang dibiayai oleh duit individu-individu bersemangat yang tujuan utamanya berkhidmat kepada komuniti dan kekal mampan. Keuntungan hanyalah bonus.
Tetapi di Malaysia, majoriti pasukan bola sepak profesional masih berfikir seperti agensi kerajaan – sebuah pertubuhan yang dibiayai oleh duit cukai rakyat.
Cuma bezanya, agensi kerajaan memberi manfaat terus kepada rakyat. Tetapi pasukan bola sepak profesional pula tidak – terutamanya kepada rakyat yang tidak meminati bola sepak.
Berfikir seperti NGO
NGO memastikan kemampanan operasi mereka melalui dana orang ramai dan aktiviti-aktiviti bisnes. Mereka turut mendapat dana dari kerajaan, tetapi tidaklah sebesar RM10 juta setahun sebagaimana yang diterima oleh kebanyakan pasukan-pasukan Liga Super dan Premier.
Dan seperti NGO-NGO lain yang berjaya, sesebuah pasukan bola sepak mesti mempunyai empat komponen:
- Pengurusan kewangan yang baik
- Transparensi dalam pengurusan
- Aktiviti komersial yang berjaya
- Aset
Empat komponen inilah yang banyak pasukan Liga Super dan Premier di Malaysia tak ada.
1. Pengurusan kewangan yang baik
Bajet operasi tahunan ada RM10 juta sahaja. Tapi membeli pemain dan memberi gaji seperti ada bajet RM20 juta dengan harapan dapat memenangi trofi dan memperolehi dana kerajaan yang lebih banyak pada musim depan.
2. Transparensi dalam pengurusan
Tidak seperti NGO yang terikat dengan tanggungjawab memberikan transparensi kepada penyumbang dana mereka, pasukan Liga Super dan Premier tiada kewajipan untuk buat perkara sama.
Ini menyebabkan setiap keputusan buruk kewangan yang dibuat oleh mereka tidak memberikan apa-apa kesan. Dalam erti kata lain, kenapa nak buat pengurusan kewangan elok-elok kalau tak perlu menjawab kepada sesiapa?
3. Aktiviti komersial yang berjaya
Berbeza dengan NGO yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti komersial, pengurusan pasukan menghabiskan 100% masa mereka mengurus aspek pasukan di atas padang. Aktiviti komersial di luar padang diabaikan. Masakan tidak? Buat aktiviti komersial hanya akan menambah beban kerja mereka. Dana kerajaan kan ada?
4. Aset
Kebanyakan NGO yang besar dan berjaya mempunyai aset tetap seperti bangunan dan sebagainya. Tetapi majoriti pasukan bola sepak tempatan pula tiada aset sendiri. Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun main bola, mereka masih tidak mempunyai padang latihan sendiri – apatah lagi stadium sendiri.
Mengapa tiada aset? Kerana untuk memiliki aset, mereka perlu mempunyai pengurusan kewangan baik dan transparensi dalam pengurusan. Jika mereka ada aset pun, mereka pasti tidak boleh mengekalkannya kerana tiada aktiviti komersil yang berjaya.
Bila pasukan bola sepak anda tiada aset, siapa nak beli? Sudahlah hutang pun banyak, satu aset tetap pun tak ada. Pejabat dan padang latihan pun masih menyewa.
Sudahlah bisnes bola sepak ini bisnes tak boleh buat untung. Jadi saya faham sangat kenapa Wan Kamal tak mahu melabur dalam pasukan Kelantan selagi hutang lama tak dilangsaikan.
Sedangkan kelab bola sepak yang banyak hutang tapi ada aset pun, orang berat nak beli. Inikan pula kelab bola sepak yang banyak hutang dan tak ada aset?
Siapa nak beli?