Chelsea tampil cemerlang bagi menempah tempat ke perlawanan akhir Piala FA 2019/20 selepas berjaya menundukkan Manchester United 3-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Wembley, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Frank Lampard itu bakal berdepan sebuah lagi kelab dari London, Arsenal pada perlawanan akhir yang dijadualkan 1 Ogos nanti.
Berdasarkan prestasi semasa, Manchester United dilihat sebagai pasukan pilihan untuk melangkah ke pentas final apabila The Red Devils turut mempunyai rekod cemerlang ketika berdepan Chelsea pada musim ini.
Namun, semua itu tidak dihiraukan oleh Cesar Azpilicueta dan rakan sepasukannya untuk mencatatkan kemenangan bermakna dengan aksi bertenaga ditampilkan.
Jaringan yang dinantikan kem Chelsea menjelma pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Manchester United yang dilakukan Azpilicueta, disudahkan dengan bersahaja oleh Olivier Giroud.
Kuisan mudah Giroud dalam kawasan penalti itu pada mulanya dihalang David De Gea, tetapi bola kemudiannya bergolek masuk dan penjaga gol kelahiran Madrid tersebut hanya mampu melihat bola bergolek masuk ke dalam gawangnya.
Prestasi De Gea terus menjadi bualan hangat pada perlawanan ini setelah beliau gagal menafikan rembatan dari luar kawasan penalti yang diledakkan Mason Mount pada minit ke-46 bagi menjadikan kedudukan 2-0 memihak Chelsea.
Tidak cukup dengan itu, The Blues menambah jaringan ketiga pada ke-74 selepas hantaran lintang Marcos Alonso yang cuba disambar Antonio Rudiger terkena Harry Maguire lalu bola membolosi pintu golnya sendiri.
Ketinggalan tiga gol masih tidak mematahkan usaha anak buah Ole Gunnar Solskjaer bagi merapatkan defisit mata dan usaha mereka membuahkan hasil selepas United dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Callum Hudson-Odoi terhadap Anthony Martial.
Bruno Fernandes yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol pada minit ke-85.
Jaringan itu bagaimanapun tidak mampu untuk menghalang Chelsea daripada melangkah ke perlawanan akhir Piala FA buat kali ke-14 sekaligus turut meleburkan rekod 19 perlawanan tanpa kalah Manchester United dalam semua pertandingan.
Kredit featured image: Chelsea FC