Barcelona Tawar Arsenal Pemainnya Untuk Ditukar Dengan Guendouzi

Guendouzi Barcelona Arsenal

Karier Matteo Guendouzi di Arsenal mungkin sudah boleh dianggap berakhir walaupun pada awal musim ini mejadi pemain penting di bawah kendalian Unai Emery. Malah pernah dicanang sebagai bakal kapten The Gunners untuk jangka masa panjang.

Malangnya pemain Perancis berusia 21 tahun itu ‘hilang segala-galanya’ terutamanya apabila Mikel Arteta mula mengambil alih pasukan dan bertindak tidak matang semasa kekalahan Arsenal kepada Brighton pada Jun lalu.

Selepas Neal Maupay menjaringkan gol kemenangan dramatik pada lewat permainan di Stadium Amex, Guendouzo telah mencekak leher penyerang Brighton itu dan mencetuskan keteganan antara kedua pasukan.

Sejak kejadian tersebut, Guendouzi tidak lagi disenaraikan dalam pasukan untuk perlawanan-perlawanan seterusnya dan mungkin ianya satu petanda jelas bahawa beliau tidak lagi diperlukan dan bersedia untuk dijual kepada mana-mana pasukan.

Walaupun dengan sikap dan tingkah laku buruknya, bakat dan potensi pemain muda itu tentunya menarik perhatian beberapa kelab Eropah  dengan Barcelona dikatakan telah menyertai perlumbaan untuk mendapatkannya pada musim panas ini.

Bagaimanapun dengan impak kewangan yang sedang melanda hampir semua kelab ketika ini, media Sepanyol melaporkan kelab gergasi Sepanyol itu akan menawarkan kepada Arsenal seorang pemainnya untuk ditukar dengan Guendouzi dan siapa lagi kalau bukan Philippe Coutinho.

Dengan masa depan Mesut Ozil di Emirates menjadi persoalan, Arsenal tentunya memerlukan seorang pemain kretif atau ‘playmaker’ baharu untuk disesuaikan dengan taktikal Arteta pada musim akan datang.

Tetapi adakah pasukan utara London itu mampu menawarkan gaji tinggi seperti mana yang diterima pemain tengah Brazil itu di Barcelona dan tentunya mereka mahu mengelak situasi yang berlaku pada Ozil.

Coutinho telah pun membuktikan reputasinya di Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang hampir lima tahun di Liverpool, tetapi adakah Arsenal sanggup untuk mengambil risiko selepas prestasi pemain itu bersama Barcelona dan Bayern Munich sejak kebelakangan ini terlalu jauh daripada jangkaan yang diharapkan.

Arteta pula dilaporkan lebih berminat untuk menggunakan dana perpindahan pemain bagi mendapatkan Thomas Partey dan Dayot Upamecano. Namun peluang untuk mengeluarkan Guendouzi tentunya satu tawaran yang agak sukar untuk ditolak.

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Matteo Guendouzi dan Arsenal:

Leave a Reply