Kejayaan Real Madrid menjulang trofi La Liga buat kali ke-34 semalam bukan sahaja diraikan seluruh peminat kelab gergasi Sepanyol itu tetapi sebaliknya turut membuatkan Chelsea tersenyum lebar dengan kejayaan yang dinikmati Los Blancos.
Berikutan kejayaan Real Madrid tersebut, kelab yang kini sedang menghuni tangga ketiga saingan Liga Perdana Inggeris itu bakal mendapat habuan berikutan penghijrahan Eden Hazard ke Madrid pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Hal ini kerana terdapat klausa pada kontrak Hazard yang menyaksikan Chelsea akan menerima bayaran daripada Real Madrid sekiranya skuad bimbingan Zinedine Zidane itu berjaya menjulang trofi La Liga dan juga layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Menurut sumber ESPN UK, Chelsea bakal menerima habuan sejumlah £10 hingga £15 juta berikutan kejayaan Real Madrid menjuarai saingan liga selepas berjaya mengenepikan cabaran hebat yang cuba diberikan musuh tradisi, Barcelona.
Selain itu, dilaporkan terdapat pertambahan kira-kira £14 juta lagi buat The Blues apabila Madrid turut berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Hazard yang begitu cemerlang di Stamford Bridge telah mengambil keputusan mengejutkan setelah berhijrah ke Real Madrid pada musim 2019/20 dengan yuran perpindahan bernilai €100 juta.
Perkembangan ini sudah pastinya menggembirakan Chelsea apabila Frank Lampard kelihatan tidak mendapat halangan daripada pengurusan tertinggi kelab untuk semakin ‘bernafsu’ dalam mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan pemain yang diinginkannya.
Setakat ini, nama-nama seperti Jan Oblak, Kai Havertz dan Ben Chilwell dikatakan berada dalam radar Chelsea untuk memantapkan pasukan mereka bagi menghadapi saingan musim baharu selepas berjaya mendapatkan Hakim Ziyech dan Timo Werner.
Kredit featured image: Real Madrid
Baca artikel lain dari kami mengenai Eden Hazard: