Bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengidamkan satu lagi pencapaian hebat buat The Reds apabila meletakkan sasaran untuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 dengan mencatatkan 104 mata.
Liverpool yang sudah pun dinobatkan selaku juara EPL telah mengumpul 92 mata dengan aksi musim ini hanya berbaki empat perlawanan sahaja lagi untuk ditamatkan.
Melihatkan kepada kemampuan barisan pasukan yang diwakilinya sejak dari tahun 2004 [sejak akademi], pemain berusia 21 itu mengharapkan agar sasaran bagi mencatatkan 104 mata tersebut dapat dicapai.
”Ia bakal menjadi sejarah dan mungkin sesuatu yang orang tidak pernah saksikan sebelum ini,” ujar Alexander-Arnold menurut laporan Goal.
”Tetapi ia juga menunjukkan betapa bagusnya kami sepanjang musim ini dan sejauh mana aksi konsisten dipamerkan. Kami telah bekerja keras untuk menetapkan rekod seperti ini.”
”Kami mahu terus memberikan tekanan, kami mahu untuk mengekalkan rentak kemenangan dan menghadapi setiap perlawanan dengan keyakinan tinggi serta percaya kepada diri sendiri yang kami boleh dan seharusnya menang.”
”Jadi, ia adalah berkaitan mentaliti kami pada ketika ini terhadap empat perlawanan terakhir dan memastikan kami akan menghadapi perlawanan dengan mentaliti yang betul di mana kami perlu mengetahui bahawa musim hadapan akan menjadi lebih sukar buat kami,” tambahnya lagi.
Baki empat perlawanan terakhir buat Liverpool bagaimanapun bukanlah semudah yang disangka kerana kelab Merseyside itu perlu untuk berhadapan dengan Burnley, Arsenal, Chelsea dan Newcastle United.
Sekiranya sasaran 104 mata itu berjaya dicapai, Liverpool akan meleburkan rekod mata tertinggi yang dicatatkan oleh Manchester City iaitu ketika The Cityzens muncul juara EPL 2017/18 dengan 100 mata.
Trent Alexander-Arnold juga begitu cemerlang pada musim ini apabila beraksi pada kesemua 34 perlawanan liga dan berjaya mencipta 12 bantuan jaringan serta menjaringkan tiga gol.
Adakah Liverpool mampu merealisasikan impian pemain pertahanannya ini? Berikan komen anda di ruangan komen!