Masa depan Lionel Messi bersama Barcelona seperti berada di persimpangan apabila desas-desus mengatakan bahawa bintang bola sepak dunia itu akan meninggalkan kelab tersebut pada tahun 2021.
Menurut sumber AS English, keputusan drastik yang mungkin diambil Messi itu susulan rasa tidak puas hati beliau kerana dirinya seringkali dipersalahkan dalam setiap masalah dihadapi kelab gergasi La Liga tersebut.
Sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan dan Messi terpaksa meninggalkan Barcelona, sudah pasti banyak kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu.
Bagi bekas pemain Barcelona, Rivaldo, beliau merasakan terdapat dua kemungkinan pilihan destinasi buat Messi sekiranya benar pemain berusia 33 tahun itu melangkah pergi dari Nou Camp.
Pilihan pertama yang dimaksudkan adalah Messi kembali berada di bawah kendalian Pep Guardiola untuk beraksi bersama Manchester City.
”Jika dia mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab, maka sesuatu yang tidak baik berlaku di bilik persalinan Barcelona dan mungkin dia juga sudah penat dengan masalah yang berterusan di kelab tersebut pada beberapa bulan kebelakangan ini.”
”Apabila kontrak Messi tamat, dia berusia 34 tahun, tetapi dengan kelas dimilikinya, saya merasakan dia akan mudah untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris,” ujar Rivaldo menurut laporan Goal.
”Sesuatu yang menyedihkan untuk melihat dia meninggalkan Barcelona apabila kontraknya tamat, tetapi saya masih mengharapkan dia boleh bertahan buat masa ini.”
”Walaupun dia mempunyai hubungan dengan kelab ini, dia juga mempunyai hak untuk berhijrah sekiranya dia mahu dan kembali bersama Pep Guardiola di City, di mana mereka berdua membentuk gandingan pengurus dan pemain hebat ketika di Barca.”
Manakala pilihan kedua buat Messi yang dirasakan oleh Rivaldo ialah beliau ke Itali untuk bergandingan bersama ‘seteru’ hebatnya, Cristiano Ronaldo di Juventus.
”Dengan semua spekulasi ini, saya percaya beberapa orang ejen telah mengimpikan tentang gandingan Messi-Ronaldo di Juventus dan ia akan menjadi perkara besar di dunia.”
”Sekiranya ia berlaku, akan menjadi ‘ledakan’ di dunia dan saya percaya Juventus akan pantas untuk memulihkan kembali pelaburan dalam mendapatkan pemain Argentina ini, dengan peningkatan hasil dari segi pasaran yang akan dinikmati.”
”Ia akan menjadi detik bersejarah untuk melihat kedua-dua pemain ini beraksi bersama dan saya pasti banyak penaja Juventus akan membantu dari segi kewangan, jadi, ia menjadi kemungkinan untuk Messi,” tambah Rivaldo lagi.