Bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengakui beliau mengimpikan sesuatu yang hebat dalam kariernya apabila bertekad untuk menjadi kapten pada masa hadapan buat pasukan juara Liga Perdana Inggeris 2019/20 itu.
Perkara tersebut disifatkan oleh Alexander-Arnold sebagai motivasi buatnya untuk terus meningkatkan prestasi dalam usaha beliau untuk mengecapi tahap cita-cita seperti dinikmati duo bintang dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Semua yang diidamkan Alexander-Arnold itu tidak mustahil untuk dicapai kerana pada usia baru mencecah 21 tahun, beliau sudah menjadi tonggak kepada kebangkitan Liverpool dalam menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris.
Tidak keterlaluan juga untuk memperkatakan bahawa beliau adalah tergolong dalam kalangan pemain pertahanan kanan terbaik di dunia pada ketika ini. Kualitinya yang bijak dalam mencipta ruang kepada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol juga begitu dikagumi.
”Menjadi kapten Liverpool sebenarnya memberikan motivasi buat saya pada setiap hari,” ujar Alexander-Arnold menurut laporan Goal.
”Ia merupakan satu perkara yang saya mahu capai. Jelas itu bukanlah keputusan saya [untuk memberikan tugasan kapten], tetapi sekiranya saya tidak berjaya mendapatkannya sebelum saya menamatkan karier, ia merupakan perkara yang mengecewakan. Saya selalu memikirkan tentang perkara itu.”
”Sama ada ia berlaku atau tidak, saya merasakan menjadi tugas saya di Liverpool untuk memimpin melalui teladan. Saya sentiasa cuba untuk melakukannya pada ketika ini – untuk menjadi contoh kepada pemain muda yang datang.”
”Saya merasakan yang saya berada sebahagian daripada pasukan yang mana semua orang berpengaruh dan saling membantu antara satu sama lain. Itulah yang dilakukan oleh kapten. Mereka memimpin dan mengheret pasukan melalui masa-masa sukar dan memotivasikan pemain di samping mereka.”
”Jika anda melihat kepada Ronaldo dan Messi, itu juga sama. Anda tidak nampak mereka bersenang-lenang. Ronaldo telah memenangi lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah. Sekiranya anda tanyakan kepadanya sama ada dia gembira dengan kejayaan itu, dia akan berkata, ‘sedikit sahaja tetapi saya mahukan satu lagi kejuaraan’.”
”Sebagai seorang atlet, amat pelik jika anda tidak mempunyai sifat kompetitif. Anda memerlukan matlamat dan cita-cita.”
”Untuk dua musim terakhir, matlamat adalah untuk memenangi trofi terbesar buat Liverpool, di mana ia adalah Liga Perdana Inggeris. Musim lalu sangat sukar.”
”Musim hadapan juga akan sama. Ia adalah reaksi semulajadi buat kami sebagai pemain untuk terus memberikan tekanan bagi mengecapi apa yang orang lain tidak lakukan,” tambah Alexander-Arnold lagi.