Andrew Majanggim: Jangan Terlalu Ghairah Hingga Abaikan SOP

Andrew Majanggim

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Andrew Majanggim melihat langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa cadangan latihan penuh secara berkontak ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan sebagai sesuatu yang hadir tepat pada waktunya.

Hal ini kerana trend penularan wabak yang melanda itu sudah semakin menunjukkan penurunan yang amat ketara sejak kebelakangan ini.

Meskipun berharap agar latihan secara berkontak dapat dikembalikan namun dalam masa sama Andrew mengingatkan kepada semua pihak tidak terlalu ghairah sehingga mengabaikan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang akan ditetapkan dari masa ke semasa.

Tambahnya, sebagai salah satu rakan kongsi Liga Malaysia, beliau sememangnya mahukan latihan secara penuh tetapi tidak mahu sebarang kecuaian dalam mematuhi SOP boleh mengakibatkan peluang Liga Malaysia kembali bersambung boleh terjejas.

“Kita sememangnya kena melihat aspek ini lebih ke hadapan kerana pada waktu ini, kes-kes baharu sudah menurun dengan banyak selain sudah tiada kes kematian kebelakangan ini.

“Fakta sebegini sememangnya amat baik kepada industri bola sepak kita yang membuatkan KBS boleh berikan saranan sebegini (latihan secara kontak) cuma saya harap apabila perkara ini dapat kelulusan, kita kena teruskan dalam pematuhan SOP yang akan ditetapkan.

“Saya tidak mahu keghairahan segelintir pihak nanti akan membunuh peluang Liga Malaysia boleh bersambung pada tahun ini memandangkan penularan wabak ini masih belum berakhir sepenuhnya, dan setiap rakan kongsi liga, perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap pasukan masing-masing, ” tambah Andrew Majanggim lagi.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, melihat cadangan KBS itu adalah satu langkah tepat untuk mengembalikan ekonomi serta keharmonian sukan negara yang sedang berdepan krisis ekoran impak pandemik COVID-19 sejak awal Mac lalu.

Malah beliau percaya perkara ini menjadi satu isyarat baik di mana kementerian sukan negara sentiasa mengambil cakna terhadap situasi yang dialami industri sukan tanah air.

Kredit featured image: Football Association of Malaysia (FAM)

Baca artikel lain dari kami mengenai pasukan Sabah:

Leave a Reply