Pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo mengakui bahawa beliau sendiri tidak mengetahui sama ada pemain sayap, Adama Traore akan meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan musim baharu nanti.
Traore yang beraksi cemerlang ketika membantu Wolves menewaskan West Ham United 2-0 pada aksi minggu lalu telah menarik minat Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya.
Seperti yang dapat kita saksikan, pemain kelahiran Catalonia itu berkelebihan dari segi kepantasan, kekuatan serta memiliki kualiti cukup baik di kawasan ‘final third’.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan dengan pakej dimilikinya telah menjadikan Traore sebagai antara pemain yang mempamerkan corak permainan konsisten buat Wolves.
”Saya tidak tahu [masa depan Traore di Wolves]. Dia pada ketika ini ada di sini dan dia telah berlatih dengan baik pada hari ini dan bersedia untuk beraksi esok.”
”Hari demi hari, tiada spekulasi dan kami hanya fokus terhadap apa yang kami perlu lakukan dan bersiap sedia untuk menghadapi Bournemouth,” ujar Nuno Espirito Santo menurut laporan Sky Sports.
Selepas dimasukkan pada minit ke-64 ketika aksi bertemu West Ham tempoh hari, Nuno Espirito mahu Traore lebih bekerja keras untuk memberikan peluang diturunkan sebagai kesebelasan utama.
”Dia perlu untuk terus bekerja. Adama merupakan seorang pemain yang istimewa, dia amat unik dan saya merasakan apabila dia berada di atas padang, dia telah memberikan impak terhadap permainan tersebut.”
”Sudah tentu dia mempunyai banyak perkara untuk dipertingkatkan dan selepas itu menjadi keputusan kami untuk menggunakan pemain bersesuaian dengan perancangan permainan dan mengikut keadaan.”
Wolves yang sedang memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah 2020/21 terikat dengan 46 mata bersama Manchester United dan mereka ketinggalan lima mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea.