Anggota skuad Invincibles 2003/04, Gilberto Silva gembira melihat peningkatan memberangsangkan yang ditunjukkan penyerang muda Arsenal, Gabriel Martinelli dan percaya pemain itu mampu untuk menjadi kunci kepada kekuatan The Gunners.
Martinelli yang bakal menjengah usia 19 tahun pada 18 Jun ini telah berjaya menjaringkan 10 gol hasil 26 penampilannya dalam semua pertandingan disertai Arsenal. Daripada jumlah tersebut, tiga gol daripadanya terhasil dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Melihatkan perkembangan positif dipamerkan Martinelli, Gilberto jelas gembira melihat apa yang telah disumbangkan rakan senegaranya itu bersama kelab utara London tersebut.
‘”Saya gembira kerana Arsenal mempunyai pemain dari Brazil,” ujar Gilberto menurut sumber laporan Goal.
”Saya fikir ia sesuatu yang hebat selepas beberapa orang pemain Brazil yang mengikut jejak langkah kami [sertai Arsenal] tidak mencapai tahap tetapi sekarang mereka mempunyai Martinelli dan David [Luiz] di kelab ini.”
”David telah menikmati transisi dari kelab ‘musuh’ [Chelsea] dan menyertai Arsenal, sebuah kelab yang tidak perlu untuk diperkenalkan lagi.”
”Kemudiannya anda mempunyai Martinelli, pemain muda berbakat besar yang bukan hanya untuk Arsenal, tetapi dia turut diperkatakan buat bola sepak Brazil dan dia telah melakukan permulaan yang baik.”
”Dia melakukannya dengan baik dan menunjukkan keberaniannya.”
”Dia memakai jersi Arsenal seperti dia masih bermain bersama rakan-rakan di kelab lamanya. Saya gembira kerana Arsenal berjaya untuk mendapatkannya dan dia berada dalam posisi yang baik untuk mengikuti jejak semua pemain Brazil yang Arsenal miliki.”