Quantcast

BERITA

UEL 2019/20: Martinelli Menyerlah Dalam Kemenangan Arsenal (Highlight)

Penyerang muda Arsenal, Gabriel Martinelli menjaringkan dua gol dan menyumbang satu bantuan gol untuk memberi Arsenal kemenangan 4-0 ke atas Standard Liege dalam aksi UEFA Europa League awal pagi tadi.

Kurang 3 minit diperlukan penyerang berusia 18 tahun itu untuk menjaringkan gol kedua selepas menanduk masuk gol pertama pada minit ke-13. Joe Willock menambah gol ketiga pada minit ke-22.

Kemudian Martinelli, yang menyertai Arsenal dengan nilai £6 juta dari kelab liga divisyen 4 Brazil; Ituano, membantu Dani Ceballos pula menjaringkan gol keempat – dan pertama peribadinya untuk Arsenal – pada separuh masa kedua.

Arsenal kini berada di tangga teratas Kumpulan F, hasil 2 kemenangan daripada 2 perlawanan.

Seperti kebiasaannya di Europa League, Unai Emery melakukan 10 pertukaran ke atas skuadnya yang seri dengan Manchester United dalam aksi Premier League pada awal pagi Selasa lepas. Bagaimanapun, masih tiada tempat buat Mesut Ozil dalam kesebelasan utamanya.

Sebaliknya ketua jurulatih Arsenal itu meletakkan kepercayaannya kepada graduan akademi kelab, Joe Willock dan Reiss Nelson, Martinelli dan pemain baru yang dibeli dari Celtic, Kieran Tierney yang melakukan permulaan keduanya untuk kelab.

Keempat-empat mereka menyerlah dengan Tierney menyumbang gol pertama Martinelli melalui hantaran lintang kiri yang tepat sebelum terlibat dengan Nelson dalam gol Willock.

The Gunners boleh menjaringkan lebih banyak gol pada malam positif yang menyaksikan bek kanan Hector Bellerin, kapten pasukan pada perlawanan ini, membuat permulaan pertamanya sejak kecederaan lutut pada sembilan bulan lepas.