Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher meramalkan Chelsea akan memiliki kelebihan pada jendela perpindahan musim panas nanti ketika kewangan kebanyakan pasukan lain dilihat terjejas teruk akibat wabak yang sedang melanda.
Chelsea sebelum ini menerima hukuman larangan pembelian pemain untuk dua jendela perpindahan musim 2019/20 selepas didapati bersalah melanggar peraturan pembelian pemain muda.
Hukuman tersebut bagaimanapun diringankan kepada hanya satu jendela perpindahan sahaja tetapi Chelsea yang dibimbing Frank Lampard tidak membawa masuk mana-mana pemain pada musim sejuk lalu.
Keadaan itu disifatkan oleh Carragher amat membantu Chelsea bagi menghadapi jendela perpindahan baharu nanti walaupun dunia bola sepak begitu terjejas tanpa tiga bulan aksi sebelum ini.
Selain itu, musim 2019/20 juga menyaksikan The Blues mendapat dana tambahan selepas berjaya menjual Eden Hazard ke Real Madrid dengan nilai berjumlah £130 juta dan £58.3 juta buat Alvaro Morata yang melengkapkan perpindahan secara tetap ke Atletico Madrid.
”Kesemua pasukan akan terkesan dari segi kewangan pada musim panas ini dan ia akan memberikan impak kepada jendela perpindahan,” ujar Carragher menurut laporan Goal.
”Bakal terdapat rundingan besar yang akan berlaku pada ketika ini, tetapi hanya ada beberapa kelab dan Chelsea kelihatan mendapat kelebihan itu.”
”Mereka dilarang untuk melakukan pembelian pemain pada musim panas lalu dan masih mempunyai bajet selepas menjual Hazard dan Morata untuk digunakan membawa masuk pemain baharu.”
”Chelsea mendapat peluang yang tepat pada musim tersebut,” tambah Carragher lagi.
Juara Liga Europa musim lalu itu kini dalam usaha untuk membawa masuk Timo Werner £54 juta dan dalam pada itu, mereka sudah pun berjaya mendapatkan khidmat Hakim Ziyech dengan nilai £33 juta dari Ajax.