Bayern Munich semakin menghampiri mahkota kejuaraan Bundesliga buat kali ke-30 selepas mencatatkan kemenangan ke atas Bayer Leverkusen 4-2 pada aksi yang berlangsung di BayArena, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern Munich kini mengumpul 70 mata untuk berada 10 mata di hadapan Borussia Dortmund di tempat kedua.
Dortmund yang bakal beraksi sebentar nanti mampu untuk kembali meletakkan perbezaan kedua-dua pasukan kepada tujuh mata sekiranya menang ke atas Hertha Berlin di Signal Iduna Park.
Tuan rumah yang turun tanpa pemain muda meningkat naik, Kai Havertz berikutan kecederaan dialami ketika sesi latihan bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Lucas Alario.
An important victory with an even more important message: #blacklivesmatter ??? @fcbayern pic.twitter.com/o4DFwNXOsY
— Leon Goretzka (@leongoretzka_) June 6, 2020
Jaringan pada minit ke-10 itu terhasil selepas Alario berjaya melepasi perangkap ofsaid susulan umpanan cantik dilakukan Julian Baumgartlinger dan kemudiannya membolosi kawalan Manuel Neuer di gawang Bayern Munich.
Pembantu pengadil pada mulanya membatalkan jaringan itu tetapi bantuan Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan Alario tidak berada dalam kedudukan ofsiad yang sekaligus mengesahkan gol tersebut.
Tersentak dengan jaringan pantas itu, skuad bimbingan Hans-Dieter Flick tampil dengan lebih kemas bagi mencipta percubaan-percubaan ke kubu pasukan tuan rumah.
Kedudukan kembali terikat pada minit ke-27 apabila Kingsley Coman yang mendapat umpanan cantik daripada Leon Goretzka, dengan tenang menewaskan penjaga gol Bayer Leverkusen, Lukas Hradecky.
Goretzka sekali lagi memainkan peranan penting selepas beliau yang memulakan serangan balas pantas pada minit ke-42 berjaya meledakkan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti untuk meletakkan Bayern Munich pula di hadapan.
Dua jaringan yang terhasil jelas menjadi tonik yang cukup berguna buat skuad Bavaria itu dalam usaha terus memburu jaringan dan mereka hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-45.
Serge Gnabry bagaimanapun terlepas peluang keemasan tersebut apabila Hradecky bertindak cemerlang menafikan percubaan ketika Gnabry hanya berhadapan dengannya dalam kawasan penalti.
Kesilapan tersebut bagaimanapun pantas ditebus Gnabry setelah beliau kali ini lebih tenang untuk melakukan percubaan lambung yang kemudiannya gagal dihalang penjaga gol kelahiran Slovakia itu pada masa kecederaan babak pertama bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Kelebihan dua gol itu nyata masih belum cukup buat barisan pemain pasukan pelawat untuk terus mempamerkan corak permainan bertenaga bagi memburu jaringan seterusnya.
Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-66 setelah peledak berbisa, Robert Lewandowski menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Thomas Muller.
Ia menyaksikan Lewandowski menjaringkan gol ke-30 dalam saingan Bundesliga manakala Muller pula mencipta bantuan jaringan ke-20 pada musim ini.
— FC Bayern English (@FCBayernEN) June 6, 2020
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Florian Wirtz yang baharu sahaja berusia 17 tahun menjaringkan gol sulung dalam kariernya setelah percubaan beliau dalam kawasan penalti tidak mampu dihalang Manuel Neuer pada minit ke-89.
Kedudukan 4-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk terus membuatkan kem Bayern Munich tersenyum lebar dengan kemenangan aksi liga yang ke-22 selepas mengharungi 30 perlawanan.