Pengurus skuad kebangsaan Argentina, Lionel Scaloni mengakui penyerang muda, Lautaro Martinez bakal mendapat manfaat sekiranya beliau berhijrah ke Barcelona sekaligus bergandingan bersama rakan senegara, Lionel Messi.
Sejak dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke kelab Catalan itu, nama Martinez sentiasa menjadi perhatian utama seluruh warga bola sepak dunia terutamanya di Eropah bagi memperkatakan tentang masa depan beliau.
Sebagai pengendali skuad kebangsaan, Scaloni sudah pastinya mengharapkan peningkatan prestasi dapat ditampilkan anak buahnya dalam usaha membantu pasukan bergelar La Albisceleste itu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Harapan Scaloni itu tidak terkecuali buat Martinez apabila beranggapan akan menjadi sesuatu yang baik sekiranya pemain Inter Milan itu dapat bergandingan bersama Messi di Sepanyol.
”Sesuatu yang lebih baik jika dia dapat bergandingan bersama Messi, tiada keraguan mengenai perkara ini,” ujar Scaloni menurut laporan Goal.
”Selain itu, kemudiannya dia harus untuk bersaing bagi mendapatkan tempat seperti dilakukannya ketika ini ketika bersama Inter Milan.”
”Kita semua seharusnya bertenang. Jika dia berhijrah, mungkin dia tidak akan menjadi pemain kesebelasan utama yang tidak dipertikaikan dan itu tidak akan mempengaruhi kami [Argentina], selagi dia mendapat minit permainan yang memberikannya peluang untuk beraksi.”
”Dia mempunyai masa hadapan yang cukup besar tetapi masih banyak yang perlu dibuktikannya,” tambah Lionel Scaloni lagi.
Sebelum ini, Pengarah Sukan Inter Milan, Piero Ausilio menegaskan bahawa Lautaro Martinez boleh keluar daripada kelab tersebut sekiranya ada pasukan yang mengaktifkan klausa pelepasan yang ditetapkan buatnya.
”Perkara yang berkaitan dengan Martinez, hanya ada satu cara untuk dia meninggalkan Inter, iaitu hanya dengan [Barcelona] membayar klausa pelepasannya.”
”Klausa tersebut di mana semua orang mengetahuinya – tiada guna untuk kita bersembunyi – kerana ia mempunyai tarikh akhir dan terdapat komitmen yang perlu dijaga dengan tepat.”