‘Kelonggaran Sektor Sukan’ – Antara Tanda-Tanda Liga Malaysia Akan Kembali

Penyokong JDT Liga Malaysia 2020

Terdapat tanda-tanda Liga Malaysia akan akan kembali berlangsung. Ianya dikuatkan dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham memaklumkan yang jika kes terkawal seperti sekarang, pihaknya akan menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perdana Menteri supaya dapat memberi kelonggaran dalam beberapa sektor seperti pendidikan, sukan dan sosial.

Penularan tempatan terkawal

Jika dilihat sejak beberapa minggu lalu, penularan pandemik COVID-19 di kalangan warga tempatan sudah berkurangan dan jika ianya kekal satu atau dua angka, ia sudah pasti akan membantu beberapa sektor termasuk sukan untuk kembali dilangsungkan.

jangkitan-tempatan-covid-19-malaysia
FOTO: KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kerajaan supaya prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan di beberapa sektor termasuk sektor pendidikan, sukan dan sosial jika trend satu atau dua angka itu kekal dalam tempoh seminggu ini.

“Kita akan memantau kes-kes dalam tempoh seminggu lagi dan sekiranya kes terkawal seperti sekarang, kita akan menasihati MKN dan Perdana Menteri supaya bagi kelonggaran dalam beberapa sektor seperti pendidikan, sukan dan sosial.

“Kita akan bincang bersama dan ambil tindakan yang sewajarnya,” ujar Dr Noor Hisham sambil memaklumkan yang penularan tempatan pada 1 Jun lalu adalah 12 kes sahaja. Majoriti kes ketika ini adalah daripada penularan luar dan warga asing.

Unjuran NIH berakhir pertengahan Julai 2020

Mengikut unjuran Institut Kesihatan Negara (NIH), jika mengikut trend atau ramalan graf pemodelan COVID-19, penularan tempatan dijangka akan berakhir pertengahan Julai dan sehingga kini, didapati ianya adalah sejajar dengan unjuran kes harian.

Kes-harian-COVID-19-penularan-tempatan
FOTO: KKM

Ini menggambarkan impak positif tindakan yang telah diambil oleh kerajaan serta pematuhan rakyat malaysia terhadap SOP dan saranan yang diberikan kerajaan dalam beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Jika berpandukan kepada unjuran NIH itu, jika penularan tempatan berakhir pada pertengahan Julai, ia lebih memungkin untuk pelbagai sektor untuk kembali dibuka disamping pematuhan SOP tetap lagi dilaksanakan sehingga pandemik ini berakhir.

Saingan Liga Super akan boleh kembali berlangsung dengan SOP yang dirangka oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MFL, FAM Sedang Rangka SOP

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata FAM perlu merangka SOP terlebih dahulu sebelum kebenaran untuk menganjurkan sebarang aksi Liga M boleh diberikan oleh pihak kerajaan.

perbincangan-presiden-FAM-dan-Menteri-Belia-dan-Sukan
Perbincangan santai antara Presiden FAM dan Menteri Belia dan Sukan. FOTO: FB Reezal Merican Naina Merican

Selepas itu, beliau akan berbincang bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tentang bagaimana perkara itu akan dilaksanakan.

“Saya minta FAM merangka SOP terlebih dahulu. Insya Allah saya akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, bagaimana perkara ini boleh dilakukan,” tegas Ismail mengenai persoalan bila liga akan kembali dibenarkan untuk bersambung.

Sebelum ini, perbincangan santai antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Menteri Belia dan Sukan sudah berlaku dengan perbincangan mengenai perkembangan perancangan bola sepak negara dan liga semasa dan pasca PKPB.

Bercakap kepada Berita Harian tempohari, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya sudah bersedia dengan SOP tertentu sebagai langkah pencegahan sekiranya liga mendapat kebenaran untuk disambung semula.

“Kita sudah bersedia dengan SOP dan ketika ini masih melakukan beberapa penambahbaikan. Jadi, tiada masalah untuk kita [untuk kemukakan SOP seperti yang dimahukan kerajaan],” jelasnya mengenai kebersediaan pihaknya ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan , Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO: BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sasaran September masih realistik

Sasaran dan perancangan FAM dan MFL untuk liga kembali berlangsung pada September depan dilihat masih realistik sekiranya penularan tempatan dilihat berjaya mencapai unjuran KKM dan NHI iaitu berakhir pada pertengahan Julai nanti.

Dalam sidang media pada 2 Jun lalu, Dr Noor Hisham ada memaklumkan pihaknya sedang merangka pelan untuk menamatkan PKPB disamping melihat kepada indikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang pandemik akan berakhir tahun hadapan.

Ini kerana, selagi vaksin tidak ditemui, pandemik ini tidak akan berakhir jadi, semua pihak perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu dalam kehidupan harian sebagai langkah pencengahan sebagaimana kaedah dalam Kesihatan Awam.

Semalam, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dipetik berkata yang terdapat kemungkinan aktiviti profesional bola sepak termasuk Liga Malaysia (Liga M) kembali lebih awal dari dijangkakan oleh pihaknya iaitu sekitar bulan Ogos.

“Bagaimanapun, rancangan kami adalah liga kembali berlatih dalam Ogos dan bermain dalam September. Jadi, tarikh akhirnya begitu tetapi kalau lebih cepat lebih baik untuk semua orang,” ujarnya yang dipetik berkata kepada Berita Harian.

MPFL 2020

Pembatalan beberapa kejohanan

Baru-baru ini, FAM telah mengumumkan bahawa saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Piala Presiden dan Piala Belia musim 2020 terpaksa dibatalkan.

Walaupun saingan tersebut telah dibatalkan, pihak majikan masih perlu menunaikan tanggungjawab mereka terhadap pemain dan pengurusan pasukan iaitu membayar pampasan berjumlah 25 peratus daripada baki kontrak mereka pada musim ini.

Dengan pembatalan beberapa kejohanan selain perancangan awal tempohari dengan ‘merehatkan’ Piala FA serta memendekkan saingan liga kepada satu pusingan sahaja, ia sudah tentu akan memudahkan FAM dan MFL untuk membuat SOP baharu.

Kedua-dua badan bertanggungjawab terhadap liga di Malaysia itu juga dijangkakan akan mudah untuk mengawal dan memantau semua aktiviti serta mengurangkan kos operasi sekiranya liga akan kembali dibenarkan untuk bersambung selepas ini.

Penutup

Namun, persoalan utama, sekiranya liga kembali dibenarkan untuk bersambung, adakah pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier akan bersedia untuk kembali? Semua tahu, ia akan melibatkan kos baharu jika SOP baharu akan dilaksanakan.

Dengan majoriti pasukan mengalami masalah kewangan pada saat ini, bagaimanakah mereka mahu meneruskan saingan liga nanti? Situasi di Kedah dan Kelantan paling meruncing selepas ianya didedahkan kepada umum mengenai tunggakan gaji.

Rujuk semula bagaimana norma baharu di Bundesliga yang menyaksikan kos baharu seperti penambahan jumlah bas untuk membawa pemain dan pegawai, kapal terbang khas yang besar, malah bilik persalinan yang perlu mematuhi penjarakan sosial.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN