Pembantu jurulatih penjaga gol skuad utama Liverpool, Jack Robinson memuji kualiti hebat dimiliki Alisson Becker yang sekaligus menjadikannya sebagai antara penjaga gol terbaik di dunia pada ketika ini.
Robinson yang tidak asing lagi buat Alisson mengganggap pemain kelahiran Brazil itu mempunyai kawalan bola yang cukup baik dan melabelkannya seperti Andrea Pirlo ketika sesi latihan pasukan.
Kehadiran Alisson dengan nilai £65 juta ke Anfield dari AS Roma nyata menjadi jawapan kepada kelemahan yang seringkali menghantui Liverpool sejak beberapa musim lalu.
Bukan sahaja tangkas menghalang percubaan lawan, Robinson turut mengagumi kualiti kawalan bola dimiliki penjaga gol berusia 27 tahun itu.
”Luar biasa! Gayanya [mengawal bola] adalah seperti Pirlo.”
”Dia sangat selesa ketika bersama bola dan mahu untuk menerimanya [bola] walaupun berada di dalam tekanan pihak lawan,” ujar Robinson menurut laporan Goal.
”Seperti yang anda lihat di dalam perlawanan, kekuatan mental, ketenangannya, dia masih boleh bermain [mengawal bola] dalam situasi kucar-kacir di hadapannya.”
”Jika sesebuah pasukan itu mengamalkan corak tekanan secara tinggi, sudah tentulah ada ruang di belakang mereka yang ditinggalkan.”
”Alisson sudah dapat melihat larian yang akan dilakukan oleh Mo [Salah], Sadio [Mane] atau Bobby [Firmino] atau pemain tengah yang lain ketika mula menyerang. Dia berjaya mengeksploitasi ruang tersebut untuk menghantar bola kepada mereka.”
”Sekiranya sesebuah pasukan itu gemar menunggu, ia seharusnya menjadi lebih mudah untuk kami menyerang melalui kawasan tengah menerusi pemain tengah.”
”Sifat semulajadi bagaimana pasukan kami bermain, kami merupakan sebuah pasukan yang menyerang dengan begitu pantas, jadi penjaga gol akan sentiasa melihat bagaimana untuk mengekalkan kepantasan dan momentum dalam satu-satu perlawanan,” ujar Robinson lagi.