Pertahanan kental Liverpool, Virgil Van Dijk mendedahkan sebab beliau memilih The Reds meskipun pada ketika itu terdapat juga pasukan yang turut menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.
Van Dijk menyertai Liverpool dari Southampton pada jendela perpindahan musim sejuk 2017/18 dengan yuran perpindahan bernilai £75 juta yang sekaligus menjadikannya sebagai pertahanan termahal di dunia sebelum Harry Maguire dan Manchester United memecahkan rekod tersebut.
Menurut sumber Goal, Manchester City juga dikatakan turut bersaing bersama Liverpool untuk mendapatkan pemain pertahanan kelahiran Breda, Belanda ini.
Sehubungan dengan itu, Van Dijk menjelaskan sebab yang mendorongnya untuk memilih Liverpool berbanding pasukan lain.
”Sebelum saya membuat keputusan untuk memilih Liverpool, saya melihat dari segenap aspek mengenai kelab ini. Bagaimana cara mereka bermain, rakan sepasukan, masa depan kelab ini juga.”
”Bandaraya, para penyokong mereka juga menjadi penyebab utama dalam memilih sebuah kelab.”
”Saya fikir Liverpool ketika saya membuat keputusan adalah tepat dan kami berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dalam enam bulan terawal saya di sana, ia merupakan satu bonus dan membantu saya untuk dalam peningkatan prestasi saya,” ujar Van Dijk lagi.
Kini selepas dua musim setengah mengepalai jentera pertahanan Liverpool, sumbangan berkesan yang diberikan oleh Van Dijk semakin jelas terserlah apabila membantu kelab Merseyside itu menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 dan juga kini sedang selesa mendahului Liga Perdana Inggeris.