Tindakan Barcelona menangguhankan perpindahan pemain tengah, Philippe Coutinho untuk beliau sekurang-kurangnya kekal di Camp Nou bagi tempoh semusim lagi, sudah pastinya tidak lama lagi akan menguntungkan bekas pasukannya, Liverpool.
Menurut laporan media Sepanyol, Marca, terdapat klausa di dalam perjanjian ketika Barcelona menandatanganinya yang menyatakan, Barcelona perlu membayar tambahan £17 juta, sekiranya Philippe Coutinho telah mencapai 100 penampilan.
Sebelum dipinjamkan ke Bayern Munich, pemain berusia 27 tahun itu telah membuat 76 penampilan bersama Barca dan masih berbaki 24 penampilan untuk mengaktifkan klausa tersebut. Adakah Barcelona akan membenarkan ianya berlaku?
Dengan Quique Setien telah menggantikan Ernesto Valverde sebagai pengurus pasukan, kemungkinan pemain kelahiran Brazil itu untuk mendapat tempat semula kembali meningkat disamping Barcelona perlu memberinya minit permainan.
Jika Barcelona membekukannya tanpa memberi sebarang penampilan pada musim akan datang, siapa yang sanggup untuk masuk ‘meminang’ dengan nilai yang agak tinggi? Sukar untuk mereka menjualnya sekiranya perkara tersebut berlaku.
Sebelum ini, Philippe Coutinho dijangka akan meninggalkan Barcelona dengan beberapa pasukan berminat untuk mendapatkannya seperti Chelsea, Tottenham dan Everton – namun ianya diakhiri dengan beliau dipinjamkan ke Bayern Munich.
Bayern Munich walaubagaimanapun, tidak berminat untuk menandatangani pemain tersebut secara tetap setelah semusim berlalu. Dengan tekanan kewangan akibat pandemik COVID-19 ketika ini, siapa yang mahu mendapatkannya?
Mahu atau tidak, gergasi Sepanyol itu perlu memberikannya aksi agar ada pasukan yang akan membidanya dan selepas cukup 100 penampilan – yang pastinya tidak mustahil, mereka perlulah membuat pembayaran £17 juta kepada Liverpool.
Dalam pada itu, Liverpool sudah membuat keuntungan yang berlipat kali ganda atas penjualan pemain tersebut, di mana Barcelona sudah pun melangsaikan 15 klausa.
KREDIT FEATURED IMAGE: MIGUEL RUIZ/FCB