Penyerang sensasi bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin mahu memberikan fokus sepenuhnya aksi bersama Selangor 2 dalam saingan Liga Premier 2020 sebelum terbang ke Eropah.
Ini kerana, Luqman enggan terlalu memikirkan perancangan yang sepatutnya menyaksikan pemain muda itu berlatih di Cardiff City sebelum ke Belgium bagi menyertai kelab KV Kortrijik apabila ia terpaksa ditangguh ke satu tarikh yang belum pasti ekoran wabak COVID-19.
Justeru, peluang untuk beraksi bersama Selangor 2 musim ini sekurang-kurangnya memberi harapan baharu untuknya meningkatkan prestasi dan tidak hanya menghabiskan masa dengan menunggu sahaja.
Nyata, situasi yang sedang berlaku sekarang di seluruh dunia memberi kesan kepada semua pihak termasuklah dirinya sendiri yang sudah lama tidak mendapat tempo aksi kompetitif apabila kali terakhir beraksi adalah ketika Sukan Sea Filipina tahun lalu.
“Saya bersyukur diberi peluang untuk bersama pasukan Selangor 2 kerana sekurang-kurangnya saya dapat lihat hala tuju saya tahun ini.”
“Walaupun tak sempat beraksi lagi bersama pasukan, tetapi apabila diberi perancangan latihan yang teratur, saya bersemangat juga untuk mempersiapkan diri kerana selepas ini saya ingin fokus kepada Selangor 2 dahulu.”
“Bukan apa, kita pun tidak tahu lagi bila isu wabak ini akan pulih dan sekiranya Liga Malaysia boleh sambung balik, saya dapat beraksi dekat sini terlebih dahulu kerana kita pun belum pasti keadaan di sana macam mana.”
“Dan apabila semua sudah kembali sedia kala, dan perancangan untuk terbang semula ke Eropah berjalan lancar, sekurang-kurangnya momentum saya tidak terjejas untuk beraksi di sana,” katanya.
Pemain dari Kota Bharu, Kelantan ini menyifatkan dia perlu bekerja lebih keras berlatih sendiri di rumah kerana menganggap dirinya berbeza dengan pemain-pemain lain yang sekurang-kurangnya sudah pernah beraksi pada awal musim.
Dalam masa yang sama, Luqman turut berkongsi pengalaman melakukan kerja penghantaran barang sebagai kerja sampingan pada waktu lapang sekiranya tidak berlatih bagi membantu rakan-rakan.
“Sekarang saya tiap-tiap hari melakukan latihan ringan di rumah dan rakan-rakan juga ada membantu.
“Disebabkan saya sudah lama tidak beraksi di padang, jadi memang kena lakukan latihan lebih dan kita pun tidak tahu bila boleh akan beraksi balik.
“Cuma sekali-sekala saya ada juga keluar melakukan penghantaran barang kalau ada waktu lapang kerana itu sahajalah yang mampu saya buat untuk menghabiskan masa sekarang ini,” kata bekas pelatih NFDP itu.
Luqman terlebih dahulu sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijik sebelum ia tertangguh sebanyak dua kali ekoran masalah visa dan isu COVID-19.
Memandangkan masih belum mendapat tarikh baharu untuknya terbang ke sana, Luqman Hakim akhirnya diberi peluang untuk bersama pasukan Selangor 2 bagi memastikan prestasinya tidak terjejas.
Kredit foto: FAM