Bekas pemilik Newcastle United, Sir John Hall menasihatkan kepada individu baharu yang akan memiliki kelab tersebut supaya membina semula The Magpies dengan betul.
Menurut sumber Sky Sports, John Hall turut tidak mahu melihat pemilik baharu itu sekadar ‘mancampakkan’ duit dengan cara yang tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kaedah terbaik untuk membangunkan kelab itu.
Amanda Steveley dan PCP Partners dikhabarkan sudah menyatakan persetujuan untuk mengambil alih Newcastle United sekaligus menamatkan ‘rejim pemerintahan’ Mike Ashley selama 13 tahun.
”Newcastle adalah sebuah kota yang penuh dengan semangat, sama seperti Liverpool, di mana bola sepak telah tersemat di dalam hati masyarakat.”
”Sekiranya ia benar, saya ingin melihat pemilik baharu tidak hanya akan mengeluarkan wang dengan cara yang tidak bertanggungjawab, tetapi sebaliknya perlu membina kelab bola sepak ini dengan cara yang betul,” jelas Sir John Hall yang kini berusia 87 tahun.
”Mereka perlu melibatkan diri dalam komuniti, melabur untuk akademi, padang latihan dan bandar tersebut secara keseluruhannya.”
”Sekiranya mereka melakukan perkara tersebut, saya akan menyambut mereka dengan tangan terbuka.”
Sangat indah untuk melihat mereka membina pasukan yang terdiri daripada gabungan pemain tempatan dan beberapa pemain bintang serta mengharapkan agar pasukan dapat bersaing di kelompok lima teratas dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” ujar John Hall lagi.
Amanda Steveley dikatakan akan mengambil alih The Magpies dengan nilai berjumlah £300 juta.
Kredit foto: Steve Morton/EMPICS via Getty Images