Penyerang pinjaman Manchester United, Odion Ighalo jelas tidak sabar untuk melihat duo pemain tengah kelab tersebut, Paul Pogba dan Bruno Fernandes bergandingan buat pertama kali di Old Trafford.
Bruno Fernandes yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim sejuk itu memberikan impak pantas dengan persembahan meyakinkan ditunjukkan pemain kelahiran Maia, Portugal tersebut.
Sementara itu, Paul Pogba pula berada di landasan terbaik untuk kembali beraksi apabila saingan liga kembali dimulakan selepas beliau kini dalam proses pemulihan ekoran pembedahan buku lali yang dijalankan pada Januari lalu.
Sehubungan kepada perkembangan tersebut, Ighalo yang dipinjamkan daripada Shanghai Shenhua melihat kehadiran semula Pogba untuk digandingkan bersama Fernandes mampu menjadikan Manchester United sebagai pasukan yang berbeza.
”Manchester United akan kembali menjadi pasukan yang hebat, memenangi perlawanan dari minggu ke minggu. Dia merupakan seorang pemain hebat dan sesuatu yang istimewa dapat bermain bersamanya,” ujar Ighalo menurut sumber Goal.
”Bruno adalah seorang pemain yang hebat. Saya bermain bersamanya pada musim 2013/14 di Udinese.”
”Apabila Bruno Fernandes sudah dapat menyesuaikan diri di England, anda akan melihat apa yang dia boleh lakukan. Dia mempunyai visi, dia sentiasa mahukan bola. Dia boleh melakukan rembatan, mampu menjaringkan gol, dia seorang yang sangat bijak.”
”Sebelum bola datang kepadanya, dia telah satu langkah ke hadapan untuk mengetahui apa yang dia mahu lakukan. Pada masa akan datang, anda akan dapat lihat apa yang dia mampu lakukan dalam Liga Perdana Inggeris, lebih baik daripapa yang dipamerkan pada ketika ini,” ujar Ighalo lagi.
Dalam lima penampilannya bersama Manchester United dalam saingan liga, Bruno Fernandes sudah menjaringkan dua gol dan mencipta tiga bantuan jaringan.
Kredit foto: Clive Brunskill/Getty Images