Legenda Itali dan AS Roma, Daniele De Rossi mendedahkan beliau berminat untuk menyertai Manchester United tetapi hajat tersebut terpaksa dilupakan apabila melihat barisan pemain yang mengisi posisi tengah kelab Liga Perdana Inggeris itu.
De Rossi telah menikmati karier yang cukup gemilang apabila menjadi sandaran utama buat AS Roma selama 18 musim dan kemudiannya berhijrah ke Boca Juniors pada jendela musim panas lalu.
Beliau yang kini berusia 36 tahun mengakui bahawa Manchester United adalah kelab kegemarannya sejak dari kecil lagi dan mengakui berhasrat untuk mengubah haluan ke Old Trafford.
Namun, terdapat alasan yang membuatkannya untuk melupakan hasrat tersebut dan memilih pasukan lain untuk disertai apabila sekiranya tidak lagi menyarung jersi AS Roma.
”Sejak dari kanak-kanak saya sudah menyukai [Manchester] United.”
”Adalah merupakan satu pilihan yang tepat buat saya untuk tidak ke Manchester kerana mereka sudah mempunyai [Roy] Keane dan [Paul] Scholes. Itulah yang membuatkan saya berkeinginan ke Boca Juniors,” ujar De Rossi menerusi laporan dikeluarkan Goal.
”Saya tidak pernah memilih untuk meninggalkan Roma tetapi Boca Juniors membuatkan saya terasa seperti ‘Tuhan’.”
Ketika bersama Boca Juniors, beliau hanya sempat beraksi sebanyak lima perlawanan sebelum memilih untuk kembali ke Itali kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarganya yang sekaligus turut menyaksikan De Rossi mengumumkan persaraan pada 6 Januari 2020.
Kredit foto: Marcelo Endelli/Getty Images