Abdul Ghani Minhat: Raja Bola Yang Dipikat Oleh Lima Kelab Eropah

Raja Bola Malaysia, Allayarham Abdul Ghani Minhat merupakan salah seorang legenda terbesar dalam arena bola sepak negara. Jika tidak kerana kesukarannya menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk, kelibat beliau mungkin boleh dilihat beraksi di beberapa kelab Eropah.

Salah satunya, naib juara European Cup pada tahun 1960 – Eintracht Frankfurt.

Pada tahun 1961, seorang wartawan akhbar The Straits Times menulis sebuah artikel dengan tajuk: “Bintang bola sepak sebelum zaman perang lebih bagus.”

Dalam artikel tersebut, wartawan tersebut turut mendedahkan kandungan sepucuk surat yang ditulis oleh seorang peminat bola sepak ke akhbar keluaran Singapura itu.

Secara keseluruhannya, surat ini ditulis oleh peminat bola sepak dari generasi tua yang tipikal. Keseluruhan suratnya berkisar kepada premis – pemain bola sepak zaman dulu lebih bagus daripada zaman sekarang’.

Pembaca akhbar ini menulis:

“Secara keseluruhannya, standard bola sepak pada zaman sekarang sangat rendah. Pemain-pemain Kelab Rekreasi Cina Selangor dan Kelab Rekreasi Cina Perak zaman sebelum perang akan menang Pestabola Merdeka dengan mudah.”

“Saya tak merasakan penyerang zaman sekarang sebagus Chia Keng Hock, Kwan Soon Teck, Goon Kok Ying, Choy Khoon Onn, Yeap Cheng Eng, Chin Mee Onn, Phillip Yoong, Lim Yong Liang dan banyak lagi pemain-pemain hebat era 20-an dan 30-an.”

Perbandingan pemain dulu vs sekarang

Pada zaman sekarang, jika kita bersembang bola dengan generasi tua yang pernah menyaksikan generasi Mokhtar Dahari, mereka juga akan memberitahu perkara sama:

Pemain bola sepak zaman dulu lebih bagus daripada zaman sekarang.

Bukan sahaja generasi tua di Malaysia. Malah di Argentina, generasi tua di sana masih mempertahankan Diego Maradona jauh lebih bagus daripada Lionel Messi.

Di England, generasi tua di sana akan memberitahu anda Bobby Moore adalah 2 kali ganda lebih bagus daripada mana-mana pertahanan England sekarang. Generasi tua di Portugal mempertahankan Eusebio lebih berbakat daripada Cristiano Ronaldo.

Senarai perbandingan ini panjang lagi. Dan ia tak mungkin habis dibincangkan dalam artikel ini.

Berbalik kepada surat yang dihantar oleh pembaca akhbar The Straits Times pada tahun 1961 tadi, wartawan tersebut turut menulis walaupun beliau tidak menggemari kebanyakan pemain zaman 50-an dan 60-an, ada seorang pemain yang digemarinya.

“Saya bersetuju dengan pendapat penulis surat yang mengatakan pemain sekarang lebih rendah standardnya dengan pemain-pemain zaman sebelum perang.”

“Tapi saya boleh kata Abdul Ghani setanding dengan mereka. Tiada keraguan lagi bahawa pemain berusia 25 tahun ini adalah pemain paling berbakat yang Malaya pernah hasilkan selepas perang.”

Tak cukup dengan itu, wartawan The Straits Times itu turut menggambarkan gaya permainan Abdul Ghani:

“Dalam prestasi terbaiknya, Ghani sangat hebat. Pecutannya, acahannnya, perubahan kelajuannya, kelincahan kakinya, kebijaksaan gelecekannya dan kebolehannya membuat rembatan jarak jauh melayakkan beliau berada dalam kelas tertinggi.

Sebagus mana Abdul Ghani Minhat?

Sebagai peminat bola sepak generasi muda, saya tak terlepas ingin membandingkan Abdul Ghani Minhat (kini Allayarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat) dengan pemain bola sepak zaman saya.

Memandangkan tiada sebarang rakaman video aksi Tan Sri Abdul Ghani boleh didapati di Internet, saya beralih kepada buku, surat khabar dan cerita-cerita orang yang pernah menyaksikan beliau bermain.

Semuanya untuk mengetahui jawapan kepada soalan: sebagus manakah tahap permainan Raja Bola ini?

Berdasarkan buku History of Football in Malaysia (1900-2000) tulisan Percy Seneviratne, penulis memberitahu orang-orang yang pernah menyaksikan Abdul Ghani bermain menyamakan beliau dengan seorang lagi lagenda bola sepak Malaya, Dolfattah.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)

Apabila Tan Sri Abdul Ghani Minhat dibanding-bandingkan dengan Dolfattah, maka tak hairanlah orang menggelar beliau sebagai Raja Bola pula selepas pemergian Dolfattah menemui Ilahi pada tahun 1945.

Gelaran ini diberi pada tahun 1959 oleh lebih 200 orang pemain dan bekas pemain Malaya dalam satu perayaan jubli perak Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor.

Dan perlu diingat; umur Tan Sri Abdul Ghani Minhat baru menjejak 24 tahun ketika menerima gelaran Raja Bola Malaysia!

Pandai guna kaki kiri dan kanan

Pencarian saya untuk mengetahui sebagus manakah Tan Sri Abdul Ghani seterusnya membawa saya bertemu dengan anak sulung beliau, En. Nik Abdul Halim.

Bercerita mengenai bapanya, En. Nik mengaku jujur bahawa bapanya tidak menggalakkan anak-anaknya menceburi bidang bola sepak sepertinya.

“Tapi saya degil. Saya nak main juga. Tapi bila saya main, saya selalu kena gelak dengan Tan Sri dan kawan-kawannya. Mereka gelak bila saya hanya boleh pakai satu kaki sahaja.”

Menyedari minat mendalam anaknya dalam bidang bola sepak, Tan Sri Abdul Ghani tetap tak keberatan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada En. Nik.

“Lepas main, Tan Sri akan nasihat saya dalam kereta. Dia selalu kata, nak main bola kena pakai kedua-dua kaki. Kalau hanya boleh pakai satu kaki, susahlah.”

Tan Sri Abdul Ghani tidak bercakap kosong. Buktinya ada dalam keratan akhbar semasa liputan Pestabola Merdeka 1957.

Kami pernah menulis dalam artikel ini bahawa penyokong Malaya lebih menggemari Tan Sri Abdul Ghani sebagai inside forward kiri dalam formasi 2-3-5 Malaya berbanding posisi asalnya di Selangor, iaitu penyerang tengah.

Dalam Pestabola Merdeka 1957, Tan Sri Abdul Ghani menjaringkan 4 gol dan menyumbang 1 assist dari posisi inside forward (mirip posisi tengah kiri dalam formasi 4-3-3).

Perlu diingat; 4 gol tersebut merupakan hasil rembatan kaki kiri beliau. Dan Tan Sri Abdul Ghani merupakan pemain berkaki kanan!

Dipikat kelab luar negara

Pada usia 27 tahun, karier Tan Sri Abdul Ghani nampak menuju ke trek yang betul terutamanya selepas 2 golnya memukau pasukan Eintracht Frankfurt yang menewaskan Malaya 4-2 di Stadium Merdeka pada 20 Mei 1962.

Perlu diingat; hanya 2 tahun sebelumnya Eintracht Frankfurt merupakan naib juara European Cup 1960 di belakang Real Madrid.

Kagum dengan Tan Sri Abdul Ghani, pengurus Eintracht Frankfurt, Rudolf Gramlich menjemput beliau untuk membuat lawatan ke Jerman. Pasangan serangan beliau, Robert Choe turut menyertai lawatan tersebut.

Robert Choe (kiri) bersama Jimmy Greaves (tengah) dan Abdul Ghani Minhat (kanan) dalam satu lawatan di UK. (Foto: koleksi peribadi Nik Abdul Halim)

Di sana, Tan Sri Abdul Ghani dipikat untuk menyertai Koln dan Eintracht Frankfurt. Ketika melawat UK, beliau dipikat oleh Cardiff City, Tottenham Hotspur dan West Ham.

Tetapi menurut anaknya, Tan Sri Abdul Ghani terpaksa menolak tawaran semua kelab tersebut kerana doktor sudah menasihatkan beliau untuk bersara kerana kecederaan kakinya.

“Selain itu, Tan Sri juga tak suka sejuk-sejuk,” kata En. Nik.

Meskipun sudah dinasihatkan untuk bersara sejak tahun 1962, Tan Sri Abdul Ghani tetap menyahut cabaran mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Hanya pada tahun 1966, barulah Tan Sri Abdul Ghani bersara dari arena bola sepak antarabangsa. Beliau bersara sepenuhnya pada tahun 1968.

Zaman Abdul Ghani vs Mokhtar Dahari

Sebagai peminat bola sepak, saya juga tak terlepas daripada membanding-bandingkan pemain-pemain bola sepak dari dua generasi berbeza.

Selepas mengenali Tan Sri Abdul Ghani dengan membaca laporan akhbar dan menemuramah anaknya, saya mendapati adjektif paling kerap diberi kepada beliau adalah ‘berskil tinggi’.

Mengenali Dato’ Mokhtar Dahari melalui rakaman video, bacaan akhbar dan temuramah bekas pemain, adjektif paling kerap dikaitkan dengan beliau adalah ‘laju’ dan ‘kuat’.

Kedua-dua lagenda ini mempunyai dua cara permainan yang berbeza. Falsafah permainan pasukan kebangsaan pada zaman mereka juga berbeza.

Pada zaman Tan Sri Abdul Ghani, pasukan kebangsaan bermain dengan cara lebih individualistik dan flamboyant (berbunga-bunga). Pada zaman Dato’ Mokhtar Dahari, pasukan kebangsaan bermain dengan cara lebih berpasukan, direct dan laju.

Siapa sangka: pada satu masa dahulu pasukan kebangsaan kita pernah mempunyai dua falsafah bola sepak berbeza pada generasi pemain yang berbeza?

Baca juga artikel kami yang lain mengenai lagenda bola sepak negara:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN