Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Mokhtar Dahari, Legenda Bola Sepak Kebanggaan Malaysia

Jika Jepun berbangga dengan Yasuhiko Okudera dan Korea Selatan dengan Cha Bum-Keun, pasti Malaysia akan menamakan Mokhtar Dahari sebagai lagenda dalam sukan bola sepak bagi benua Asia.

Satu masa dahulu, Yasuhiko Okudera dan juga Cha Bum-Keun berkunjung ke Kuala Lumpur saban tahun untuk bersaing dalam Kejohanan Pestabola Merdeka.

Pestabola Merdeka merupakan satu kejohanan yang signifikan kepada pembangunan bola sepak di benua Asia.Malah replika Piala Pestabola Merdeka masih gah menghiasi lobi ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Korea Selatan (KFA) sehingga ke hari ini.

Tetapi lebih daripada itu, ada satu nama yang sering mengundang penyertaan pasukan-pasukan terbabit untuk menyertai kejohanan Pestabola Merdeka. Ia adalah kerana satu nama. Nama yang menyatukan rakyat Malaysia, dan kita gelarkan nama itu sebagai SuperMokh!

Mokhtar Dahari 

Mohd Mokhtar bin Dahari adalah nama sebenarnya. Dilahirkan pada 13 November 1953, Mokhtar Dahari dilahirkan di Setapak, Selangor (kini Kuala Lumpur).

Mokhtar Dahari merupakan anak sulung kepada pasangan Dahari Abeng dan juga Aminah Binti Sharikan. Pada usianya 11 tahun, beliau dan keluarganya berpindah ke Kampung Pandan.

Mokhtar mempunyai minat yang mendalam pada sukan bola sepak sejak usia muda lagi. Walaupun terlibat dalam beberapa jenis sukan seperti badminton, bola sepak tetap sukan nombor satu di sanubari Mokhtar Dahari.

Maka tidak hairanlah Mokhtar  menjadi bintang bola sepak sejak dari zaman persekolahan lagi. Mewakili Victoria Institution pada zaman persekolahannya, bakatnya dalam bola sepak semakin terserlah.

Pada usia 18 tahun, Mokhtar Dahari telah dipanggil untuk mewakili pasukan remaja Selangor dalam kejohanan Piala Burnley (pada hari ini dikenali mirip pertandingan Piala Presiden) yang diadakan di Sarawak selaku tuan rumah.

Kehebatannya bersama skuad remaja Selangor menyebabkan Mokhtar dipanggil untuk bermain bersama skuad utama pasukan merah kuning itu.

Kredit: Chedinsphere.blogspot.my

Bersama skuad utama Selangor, Mokhtar Dahari merupakan pemenang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 10 kali- terbanyak pernah dimenangi oleh seorang pemain dalam sejarah pertandingan tersebut.

Selain daripada itu, Mokhtar Dahari turut pernah membawa Selangor muncul juara liga pada 1984 (pemberian trofi kepada juara liga hanya bermula pada tahun 1982).

Pestabola Merdeka, Sukan SEA dan Sukan Asia

Pestabola Merdeka merupakan kejohanan yang sinonim dengan kehebatan pasukan negara satu masa dahulu. Pestabola Merdeka adalah kejohanan bola sepak tertua di rantau Asia.

Kejohanan ini kaya dengan sejarah, dan cerita. Ia adalah keramat dan mencatit deretan nama lagenda yang pernah dilahirkan daripada kejohanan berprestij tersebut.

Kredit: Chedinsphere.blogspot

Bagi rakyat dan penyokong Malaysia yang pernah menyaksikan kelibat Mokhtar Dahari, anda pasti akan mengatakan bahawa pemeriah kejohanan tersebut adalah SuperMokh!

Pestabola Merdeka adalah pentas Mokhtar Dahari mencipta nama di peringkat antarabangsa. Bersama Harimau Malaya, Mokhtar Dahari menjulang Piala Pestabola Merdeka sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1973, 1973, 1976 dan juga pada tahun 1979.

Kredit: Rizal Hashim

Antara yang akan terus menjadi memori ialah tandukan terbang Mokhtar Dahari di hadapan lebih 55,000 penonton di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Malaysia menundukkan Jepun dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1976 itu.

Selain daripada Pestabola Merdeka, Mokhtar Dahari turut membantu Malaysia memenangi pingat emas acara sukan bola sepak sebanyak dua kali di Sukan SEA (1977, 1979) dan pingat gangsa Sukan Asia pada tahun 1974 di Tehran.

Arsenal, England Dan Maradona

Pada 11hb Mei 1975, Malaysia dikunjungi oleh juara berganda musim 1970-1971 Arsenal untuk perlawanan persahabatan.

Arsenal yang dibimbing oleh Berti Mie turut tiba bersama barisan terbaik skuad The Gunners pada era itu seperti Peter Storey, John Radford, Sammy Nelson, George Armstrong, Peter Simpson dan juga Geoff Barnett.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Gandingan Mokhtar Dahari bersama Isa Bakar mengejutkan gergasi Inggeris itu dalam perlawanan yang diadakan di hadapan 30,000 penonton di Stadium Merdeka. Dua gol SuperMokh menundukkan saingan Arsenal pada malam itu untuk memberi kemenangan 2-0 ke atas Malaysia.

Kehebatan Mokhtar Dahari nyata memukau Berti Mie sehingga wujud perkhabaran bahawa Arsenal ingin melamar Mokhtar Dahari ke London selepas perlawanan tersebut.

Selain daripada Arsenal, SuperMokh turut pernah memukau skuad kebangsaan England B yang bertandang ke Kuala Lumpur. England mendahului seawal minit ke-14 dalam perlawanan yang turut diadakan di Stadium Merdeka tersebut.

Pada minit ke-32, magis daripada Mokhtar menjelma. Mokhtar Dahari memulakan larian daripada bahagian tengah padang, menewaskan dua pertahanan England, David Needham kemudiannya Alex Kennedy sebelum rembatannya menewaskan Joe Corrigan untuk mengikat England B 1-1 dalam perlawanan tersebut.

Kredit: Chedinsphere.blogspot

Sir Bobby Robson yang merupakan pengendali England pada masa itu berpendapat bahawa Mokhtar Dahari tidak mempunyai masalah untuk beraksi bersama mana-mana pasukan Liga Inggeris. Jelas kelibat SuperMokh mendapat perhatian anatarabangsa pada era kegemilangannya.

Kredit: Stadium Astro

Malah Diego Maradona turut mengakui bahawa Mokhtar Dahari adalah pemain bola sepak terhebat daripada rantau Asia yang pernah beliau temui dalam satu wawancara khas membabitkan bekas kapten Argentina tersebut.

Perlawanan persahabatan antara Boca Juniors yang dibarisi oleh Maradona menentang Pilihan Selangor yang diketuai oleh Mokhtar Dahari pada 1982 pasti kekal dalam ingatan bekas bintang Napoli itu.

Rumusan

Hari ini 13 November 2018, genaplah 64 tahun kelahiran legenda bola sepak negara, Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari. Perginya Allahyarham 26 tahun yang lalu pasti satu kehilangan besar buat bola sepak tanah air. Nama Mokhtar Dahari akan terus kita kenang sebagai pemain bola sepak terhebat pernah dilahirkan negara.

“Jika anda malu untuk berdiri teguh di belakang pasukan anda, eloklah cari bendera lain”– Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!