Saingan Bundesliga yang turut dihentikan buat sementara waktu seperti liga-liga lain di seluruh dunia akibat serangan wabak COVID-19 menyaksikan kehangatan perseteruan di antara Robert Lewandonwski dan Timo Werner untuk merebut gelaran penjaring terbanyak juga terjejas.
Lewandowski pada ketika kini sedang memimpin carta penjaring terbanyak selepas meledakkan 20 jaringan, berkelebihan empat gol berbanding penyerang RB Leipzig itu.
Namun, bukan itu yang menjadi tumpuan Semuanya BOLA pada artikel kali ini. Kita lupakan ‘persengketaan’ mereka berdua dan kini disingkapkan kembali senarai 5 penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam kempen Bundesliga.
5) Manfred Burgsmuller (213 gol)
Burgsmuller berkeupayaan untuk beraksi di posisi tengah dan penyerang. Sepanjang 17 musimnya dalam Bundesliga, beliau berjaya menjaringkan 213 gol dari 447 penampilan dalam saingan liga.
Musim 1987/88 merupakan pencapaian hebat buat Burgsmuller dan Werder Bremen apabila berjaya menjuarai Bundesliga sekaligus menghalang kemaraan Bayern Munich untuk menjadi juara buat kali ke-4 berturut-turut.
Jaringan tertinggi dalam satu musim yang berjaya dilakukanya adalah pada musim 1980/81 apabila Burgsmuller menyumbat 27 gol. Pemenang kasut emas ketika itu adalah legenda Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge dengan 29 jaringan dihasilkan.
Pemain yang lahir pada 22 Disember 1949 itu menyertai American Football selepas bersara dari kancah bola sepak pada tahun 1996. Beliau meninggal dunia pada bulan Mei tahun lalu.
4) Jupp Heynckes (220 gol)
Heynckes yang pernah membimbing Bayern Munich dan Real Madrid telah menikmati musim gemilang dalam bola sepak sebagai pemain bersama Borussia Monchengladbach.
Monchengladbach berjaya mengecapi kejuaraan pertama Bundesliga pada musim 1969/70, sekembalinya beliau dari Hannover 96 pada musim 1970/71 untuk bersama kelab tersebut, Heynckes telah berjaya membantu kelab itu menjadi pasukan pertama yang berjaya mengekalkan kejuaraan liga buat dua tahun berturut-turut.
Beliau turut berjaya menghasilkan 19 gol dalam 33 perlawanan pada musim berkenaan.
Musim 1974/75 menyaksikan Heynckes meraih anugerah pemenang kasut emas Bundesliga apabila menyumbangkan 27 gol dalam satu musim.
3) Robert Lewandowski (227 gol)
Penyerang kelahiran Warsaw, Poland ini menjadi satu-satunya pemain yang masih aktif [beraksi] berada dalam senarai lima penjaring terbanyak sepanjang zaman ini.
Beliau menjaringkan 74 gol sewaktu menyarung jersi Borussia Dortmund manakala 153 lagi ketika bersama Bayern Munich. Musim 2015/16 dan 2016/17 menyaksikan beliau berjaya meledakkan 30 gol semusim.
Lewandowski telah meraih anugerah kasut emas sebanyak empat kali dan sekiranya musim 2019/20 kembali bersambung, penyerang berusia 32 tahun ini dilihat berada di landasan yang tepat untuk menambah satu lagi gelaran peribadi buatnya.
2) Klaus Fischer (268 gol)
Pemain ini pernah beraksi bersama TSV 1860 Munchen, Schalke 04, FC Cologne dan VFL Bochum. Merupakan seorang pemain yang terkenal dengan sepakan ‘bicycle kick’.
Kemuncak prestasi hebat yang ditampilkan oleh Fischer adalah ketika bersama Schalke 04 apabila beliau telah berjaya menghasilkan 182 jaringan ketika bersama kelab tersebut.
Fischer telah meledakkan 29 gol pada musim 1975/76 untuk menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak liga setahun selepas Juup Heynckes meraih gelaran tersebut.
1) Gerd Muller (365 gol)
Dilabelkan sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak dunia, Gerd Muller membuktikannya dengan jaringan yang telah dihasilkannya dalam saingan Bundesliga.
Satu rekod yang amat sukar untuk dipecahkan oleh mana-mana pemain yang masih aktif beraksi buat masa ini dan sudah pastinya akan mengambil masa yang sangat lama buat seseorang pemain untuk memecahkannya.
Muller telah menabur bakti bersama Bayern Munich selama 15 tahun. Sepanjang 427 perlawanan liga yang dilaluinya, Muller berjaya mengukir nama selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Bundesliga dengan 365 jaringan.
7 anugerah kasut emas yang dimiliki dalam saingan liga sudah cukup untuk menjelaskan mengenai kewibawaan penyerang prolifik ini.
Kredit featured image: Onze/Icon Sport via Getty Images