Untuk menyiapkan artikel ini, kami menemuramah beberapa pemain amatur dan profesional sekitar Lembah Klang mengenai ciri-ciri coach bola sepak yang mereka paling tak suka.
Jika anda merasakan anda salah seorang daripada jenis coach bola sepak yang tersenarai di bawah, anda mungkin perlu memperbaiki semula cara kejurulatihan anda supaya pemain dapat memberi respon yang lebih baik.
1. Si Pakar Taktikal
Si Pakar Taktikal adalah coach bola sepak yang mencuba sedaya-upaya untuk menjadi ‘pakar’ dengan menggunakan perkataan-perkataan asing – seperti gegenpressing, juego de posicion atau zona mista ketika melatih pemain.
Mereka juga gemar membuatkan konsep mudah menjadi susah kepada pemain. Sistem 4-3-3 yang mudah akan menjadi seperti formula sains apabila Si Pakar Taktikal menerangkannya. Sedangkan tugas coach adalah menjadikan benda susah jadi senang semasa mengajar.
Pep Guardiola sendiri sentiasa menerangkan falsafah taktikal beliau dengan memecahkannya kepada beberapa latihan drill ringkas supaya mudah difahami oleh pemain-pemainnya.
“Kebanyakan coach yang macam ni, mereka bukan dari background pemain, bang,” menurut kata seorang pemain Liga IPT. “Kami tak dapat hadam sangat apa yang dia cakap. Macam syok sendiri pun ada,” tambah beliau.
2. Si Perasan
Pernah jumpa jurulatih bola sepak yang bertempik dan menjerit di tepi padang semasa kejohanan-kejohanan akar umbi? Kami perkenalkan kepada anda: Si Perasan.
Si Perasan mempunyai personaliti yang keras dan tegas. Mereka percaya pemain hanya akan maju melalui disiplin dan autoriti. Mereka juga gemar menggunakan ayat, “Masa zaman saya bermain dulu…” Sedangkan ayat sebegini diharamkan oleh Coverciano.
Seorang pemain liga sosial di Damansara memberitahu kami pengalaman beliau berlatih di bawah kendalian Si Perasan semasa sekolah rendah.
“Pernah sekali, saya tersilap buat back pass. Pemain lawan pintas hantaran saya dan terus menjaringkan gol. Semasa half-time, coach saya maki saya dan cakap – kalau macam ini gaya kau main, baik balik rumah la.”
3. Si Penumpang
Si Penumpang adalah coach bola sepak luar negara yang menumpang kejayaan negara kelahirannya untuk mematikan pendapat jurulatih tempatan yang lebih berkelayakan. Kadang-kala Si Penumpang akan ‘menumpang’ kejayaannya sebagai pemain untuk tujuan sama.
Di Malaysia, Si Penumpang biasanya terdiri daripada jurulatih-jurulatih sub-standard dari Brazil, England, Australia, Sepanyol dan Itali. Atau pernah bermain di kelab-kelab negara ini.
Dan biasanya, mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan presiden/pemilik kelab. Penyokong pula menyangka mereka bagus hanya kerana mereka adalah ‘orang putih’.
Kerakyatan dan rekod sebagai pemain tak sepatutnya diambil kira semasa melantik jurulatih. Buku Soccernomics pernah menjelaskan rekod kejayaan lampau sebagai pemain tiada korelasi kuat dengan penentu kejayaan seorang jurulatih.
Sebaliknya kelayakan, kebolehan, personaliti, idea dan kebolehlaksanaan idea tersebut yang sepatutnya menjadi ukuran.
4. Si Pengulas
Bagi pemain, ada beza sebenarnya antara memberi arahan dengan memberi tunjuk ajar.
Pengulas perlawanan boleh memberitahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh pemain. Tetapi jurulatih bola sepak perlu menunjukkan bagaimana. Seorang pemain Liga Premier Malaysia menceritakan pengalaman beliau bermain di bawah Si Pengulas:
“Pernah sekali semasa saya bermain, coach saya tayangkan video Johan Cruyff semasa half time dan beri arahan – main seperti dia (Cruyff) dan kita akan menang. Dia tak tunjuk ajar pun macam mana nak bagi kami main macam Cruyff.”
Terkejut kami mendengar pengakuan pemain ini. Tetapi inilah yang berlaku. seorang penyerang pasukan Liga Sosial yang pernah bermain di Piala FAM pula menceritakan:
“Coach selalu jerit ‘press, press press!’ bila pasukan lawan pegang bola. Tapi dalam training, kami tak diajar pun cara nak press as a team.
“Bila striker press tapi 4 defender makin ke belakang sebab takut tingalkan ruang kat belakang, coach akan marah striker sebab tak press betul-betul. Mana adil, bang.”
5. Si Holloway
Si Holloway adalah jurulatih bola sepak yang terlalu mencuba untuk menjadi ‘kawan’ pemain-pemainnya. Mereka gemar bergelak tawa dan bergurau dengan pemain. Tetapi apabila tiba masa mereka perlu mendisiplinkan pemain, mereka akan mengelak – sebab nak jaga hati pemain.
Nama ini diinspirasikan daripada nama Ian Holloway – bekas jurulatih Blackpool dan QPR yang terkenal kerana kecenderungannya melayan pemain-pemain seperti kawan.
Seorang bekas pemain Liga Super memberitahu:
“Ada seorang pemain kelab kami yang jelas melanggar peraturan kelab. Tetapi disebabkan beliau rapat dengan coach, dia tak kena apa-apa. Perkara ini membuatkan team berpecah-belah. Moral akan jatuh. Akhirnya semua yang rugi.”
6. Si Jumud
“Siapa yang buat latihan jalan itik lagi untuk latih pemain? Team kami je,” luah kecewa seorang staf pasukan Piala FAM.
“Raymond Verheijen dah lama cakap static stretching tak berkesan untuk panaskan badan pemain. Tapi team kami buat juga.”
Ketika bola sepak sedang berevolusi menjadi sukan yang lebih fizikal, pantas dan reaktif, ada sesetengah jurulatih – dikenali sebagai Si Jumud – yang masih tidak mengikuti perkembangan ilmu bola sepak.
Lesen kejurulatihannya sudah lama tak diberi refreshment course. Pengetahuannya relevan setakat bola sepak era 90-an. Idea baru ditentangnya habis-habisan. Musuh terbesar Si Jumud adalah egonya sendiri.
7. Si Ketam
Ibarat ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, Si Ketam adalah jurulatih bola sepak yang gagal menunjukkan contoh terbaik kepada pemain-pemainnya.
Mereka sering berceramah tentang kepentingan menjaga diet pemakanan kepada pemain, tetapi berat badan mereka sendiri yang berlebihan.
Mereka melarang pemain merokok, tetapi mereka sendiri merokok. Seorang bekas pemain Liga Super kepada kami:
“Standardlah bro kat Malaysia. Semua orang merokok. Kami pun bukannya tak tahu fitness coach kami pun merokok juga dengan kami kat dressing room masa half time.”