Baru-baru ini, Semuanya BOLA ada menyenaraikan senarai penjaring terbanyak era Liga Super pasukan Kedah, yang mana pemain yang berada di kedudukan teratas ketika ini masih aktif bermain dan merupakan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.
Mengikut kepada senarai tersebut, sejak mula beraksi pada musim 2006/07, Baddrol Bakhtiar telah meledak 56 gol keseluruhannya, namun jika dikirakan dalam semua pertandingan, pemain yang mesra disapa Badd itu telah meledak 116 gol.
Bukan mudah bagi seorang pemain tengah di Malaysia untuk mencapai jumlah jaringan sepertinya, namun pemain berusia 32 tahun itu tetap berjaya mencapai angka 100 gol pada tahun 2017. Untuk musim 2020, belum ada lagi gol dicetaknya.
Perubahan posisinya ke bahagian tengah daripada jentera sayap Helang Merah mungkin telah sedikit sebanyak mengganggu rekod jaringannya beberapa musim kebelakangan ini. Tetapi yang pastinya, Baddrol Bakhtiar tidak pernah berhenti.
Pemain yang digelar ‘The Snipper’ itu bukan sahaja memiliki hantaran jauh yang baik dan mampu melakukan ‘tembakan’ tepat ke gawang gol dari luar kotak penalti, namun pada musim lalu, beliau membuktikan yang tandukannya juga berbisa.
Empat daripada tujuh jaringannya untuk musim 2019 adalah menerusi tandukan dan pastinya yang paling diingati adalah tandukan terbangnya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat ketika menang ke atas Melaka United 2-1 pada Mei 2019.
Selain itu, seperkara lagi yang menarik mengenai Baddrol Bakhtiar adalah, beliau telah melengkapkan penyertaannya dalam semua pertandingan kelab daripada peringkat bawah umur sehingga senior ketika saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Januari lalu. Dan semua itu dilakukan hanya bersama Kedah.
Bermula bersama skuad remaja Kedah sekitar tahun 2005 seterusnya memenangi pingat perak di SUKMA 2006, beliau dilihat terus melangkah jauh bersama Kedah sehingga ke peringkat Asia iaitu Piala AFC dan yang terbaru, kelayakan ACL 2020.
Ianya pasti akan lebih indah jika Kedah layak beraksi sehingga ke saingan ACL 2020, sekiranya mereka berjaya menewaskan FC Seoul di pusingan playoff tempohari.
Baddrol Bakhtiar juga telah merasai semua kejuaraan yang ada di Malaysia iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super, Liga Premier dan juga trofi kejuaraan antara tertua di Asia, Piala Malaysia bersama Kedah. Ada pemain lain yang sepertinya di Malaysia?
Ketika bersama skuad kebangsaan juga beliau telah berjaya tampil dengan baik bersama skuad B-23 dan senior. Antara kejuaraan yang telah dimenanginya adalah pingat emas di Sukan SEA 2009 dan 2011 selain kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.
Masih ingat jaringannya penalti terakhirnya ketika final Sukan SEA 2011 yang telah membantu Malaysia menumbangkan tuan rumah, Indonesia 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar. Beliau adalah kapten skuad muda tersebut.
Bagaimana pandangan anda tentang lagenda hidup Kedah, Baddrol Bakhtiar? Siapa lagi pemain yang setandingnya dalam penyertaan di semua pertandingan yang ada di Malaysia dari bawah umur sehingga ke peringkat Asia – pusingan kelayakan ACL?
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA