Wojciech Szczesny mendedahkan bekas pengurus Juventus, Massimiliano Allegri menguatkuasa satu denda menarik jika pemain dapat kad merah: pemain yang dibuang padang tersebut kena beli hadiah untuk satu pasukan.
Szczesny mendedahkan cerita tersebut dalam satu program podcast beliau, Prosto w Szczene.
Beliau memberi contoh Cristiano Ronaldo, misalnya, pernah memberi hadiah iMac kepada semua pemain Juventus selepas mendapat kad merah ketika menentang Valencia dalam aksi UEFA Champions League. Perlawanan tersebut berlangsung pada September 2018.
Dalam perlawanan tersebut, Ronaldo dihukum buang padang pada minit ke-29 oleh pengadil Felix Brych selepas didakwa menarik rambut pertahanan Valencia, Jeison Murillo.
Insiden tersebut boleh dilihat dalam video di bawah:
Ronaldo ternyata sangat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil sehinggakan beliau menangis ketika diarahkab keluar padang.
Dan menurut Szczesny, Ronaldo masih merungut tentang keputusan pengadil dalam perlawanan itu walaupun dua bulan sudah berlalu.
“[Ronaldo] mengambil masa sangat lama untuk bertenang bila bercakap tentang kad merah tersebut. Kepalanya susah nak proses kad merah tersebut. Dia mati-mati cakap dia tak bersalah.
“Tapi akhirnya selepas dua bulan mengomel, dia akhirnya jadi tenang. Selepas itu, dia belikan kami semua iMac.”
Penjaga gol Poland itu turut memberitahu Allegri menguatkuasa denda sama kepada pemain Juventus yang datang lambat ke latihan.
Szczesny memberitahu beliau pernah membelikan pemain Juventus headphone ‘Beats by Dr Dre’ selepas pernah sekali terlambat datang ke latihan.
“Saya ingat hari tiu hari Selasa. Rupa-rupanya hari Rabu. Allegri hubungi saya dan cakap semua orang dah turun ke latihan. Bila saya datang 30 minit kemudian, semua orang cakap: “Oh, kita akan dapat hadiah!
“Sebagai denda, saya beli headphone ‘Beats by Dr Dre’ untuk semua orang.”
Bekas penjaga gol Arsenal ini kini merupakan penjaga gol nombor satu Juventus.
Juventus kini sedang mendahului Serie A, satu mata dihadapan Lazio yang berada di tangga kedua. Di Coppa Italia, mereka sedang berada di peringkat separuh akhir – seri 1-1 dengan AC Milan dalam perlawanan pertama.
Di UEFA Champions League musim ini, Juventus sedang berada di peringkat kalah mati. Mereka sedang menanti perlawanan timbal balik pusingan 16 terakhir selepas ketinggalan 0-1 dalam perlawanan pertama menentang Lyon.