Einthract Frankfurt bakal menghadapi perlawanan timbal balik yang sukar minggu depan selepas tumbang 0-3 di Commerzbank Arena yang kosong dalam aksi pusingan 16 terakhir Europa League.
Meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan dari mula sampai habis, Frankfurt pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka gagal menyempurnakan peluang yang tercipta. Dan pada masa yang sama, mereka perlu memperbaiki pertahanan mereka yang rapuh setiap kali diserang pelawat.
Basel membuka akaun jaringan seawal minit ke-27 menerusi sepakan percuma cantik Samuele Campo.
Selepas gol tersebut, Frankfurt cuba menggandakan asakan, termasuk mengeluarkan pemain tengah Djibril Sow dan memasukkan penyerang Gonçalo Paciência. Tetapi ia sia-sia apabila barisan depan pasukan Jerman itu kerap menunjukkan penyudah tumpul.
Pada minit ke-73, Campo menjadi duri dalam daging Frankfurt sekali lagi apabila bertidak sebagai penyumbang gol pula kepada Kevin Bua.
Ketika masa sebenar perlawanan berbaki lima minit, Fabian Frei menyudahkan satu lagi gerakan serangan balas pantas dari kanan yang dimulakan oleh Bua.
Kemenangan 3-0 di tempat lawan ini meletakkan FC Basel di landasan selesa untuk layak ke suku akhir Europa League yang tidak pasti dapat dijalankan atau tidak berikutan penularan wabak COVID-19 di Eropah.