Pemain gantian, Pedro Neto menjaringkan gol away yang berharga untuk membantu Wolves mengikat Olympiakos 1-1 dalam perlawanan pusingan 16 Europa League di Stadium Karaiskakis yang kosong.
Pelawat yang mahukan perlawanan ini ditangguhkan, mendapat berita gembira pada minit ke-28 selepas pertahanan Olympiakos, Ruben Semedo dibuang padang kerana mengasari Diogo Jota.
Bagaimanapun Wolves gagal memanfaatkan kelebihan ini. Satu-satunya peluang jelas menjaringkan gol yang mereka cipta adalah apabila percubaan Raul Jimenez dihalang oleh muka penjaga gol tuan rumah, Jose Sa.
Sebaliknya mereka yang ketinggalan terlebih dahulu apabila Youssef El Arabi menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-54.
Mujurlah tidak lama kemudian sepakan percuma Neto terbias sekaligus memberikan gol kepada Wolves.
Perlawanan timbal balik dijadualkan akan berlangsung pada Khamis depan. Tetapi ia bergantung kepada keputusan UEFA sama ada mahu menangguhkan atau membatalkan terus kejohanan ini memandangkan ancaman wabak COVID-19 semakin meningkat di Eropah.
Wolves tidak berselindung untuk memberi pendapat bahawa keputusan untuk meneruskan kejohanan ini ketika satu dunia sedang bertarung dengan wabak penyakit pandemik sebagai ‘merepek’.
Komen Wolves ini timbul susulan pengesahan pemilik Olympiakos (dan Nottingham Forest), Evangelos Marinakis yang sah positif COVID-19 minggu ini. Bagaimanapun tiada pemain dan staf Olympiakos lain yang diuji positif.